+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 10, 2008

Kembalikan integriti dan kebebasan badan kehakiman: Raja Nazrin.

Mstar online

09-04-2008 05:12:13 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah mencadangkan agar sistem pelantikan dan kenaikan pangkat dalam bidang kehakiman dikaji semula dengan memperkenalkan makanisma yang lebih telus dan adil.

Sambil menegaskan bahawa satu pembaharuan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memulihkan reputasi badan itu yang telah terjejas teruk sejak 20 tahun lalu itu, beliau menyokong supaya ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat perakuan kepada Perdana Menteri sebelum beliau berbincang dengan Persidangan Raja-Raja.

Tanpa pembaharuan yang menyeluruh itu, katanya, institusi itu akan kekal dalam keadaan yang lemah sementara ketidakadilan akan berterusan.

Suasana hari ini, kata beliau, sangat sesuai untuk dilakukan perubahan menyeluruh dengan langkah pertama mengembalikan kuasa kehakiman kepada badan kehakiman itu sendiri.

"Dalam tempoh 20 tahun lalu kebebasan dan intigriti institusi kehakiman telah terhakis dengan teruknya. Ini menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap institusi itu malah ada pihak yang terus bertindak membelakangkan undang-undang.

"Ini adalah satu titik hitam terhadap kehormatan dan reputasi kita yang jika tidak diperbaiki boleh membinasakan negara," katanya ketika berucap di Persidangan Hakim-hakim di sini Rabu.

Menurut Raja Nazrin apa yang menyebabkan kelemahan institusi kehakiman negara ebih menyedihkan ialah hakikat bahawa ia pernah satu masa dahulu sangat dihormati dan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Malaysia, kerap menjadi rujukan di kalangan negara-negara Komanwel.

Beliau menegaskan bahawa satu ciri paling penting dalam pembaharuan sistem kehakiman negara ialah memastikan hanya mereka yang mempunyai tahap intigriti dan intelek yang tinggi sahaja dilantik menjadi hakim.

Dari segi Perlembagaan, kata beliau, badan kehakiman perlu dikembalikan kepada kedudukannya yang betul sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga 20 tahun lalu lalu.

"Jika ini tidak dilakukan, pengasingan kuasa yang menjadi asas demokrasi Malaysia akan kekal lemah," tegas beliau.

Ketua Hakim Negara Datuk Abdul Hamid Mohamad ketika merasmikan persidangan itu juga menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman sebagai satu langkah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan itu.

Sambil menegaskan bahawa sebarang keputusan melibatkan penubuhan suruhanjaya itu adalah satu perkara dasar, Abdul Hamid bagaimanapun berkata: "Jika badan eksekutif percaya dengan cara itu ia akan dapat mengenalpasti calon yang sesuai dan boleh menghapuskan tanggapan negatif terhadap badan kehakiman, kenapa tidak?"

Katanya, badan eksekutif dan badan kehakiman perlu memastikan tokoh yang benar-benar sesuai dilantik sebagai anggota suhanjaya atau sebarang jawatankuasa yang akan dipertanggungjawabkan dalam melantik hakim dan pengawai kanak kehakiman.

Mereka, katanya, perlu terdiri daripada kalangan orang yang berintigriti, berpengetahuan, tidak rasuah, adil dan tidak mempunyai agenda tersendiri.

"Mereka juga tidak boleh membenarkan diri mereka menjadi saluran untuk melobi bagi jawatan hakim," tambahnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |