+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 24, 2008

Kereta api laju KL-Singapura batal

Berita Harian

Oleh Abdul Halim Yusoff


KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan projek pembangunan sistem kereta api laju yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura kerana projek itu memerlukan kos yang terlalu tinggi.


Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sulaiman Mahbob, berkata kerajaan memutuskan untuk tidak menyokong pelaksanaan projek itu selepas meneliti cadangan yang dikemukakan mengenainya.

"Kerajaan tidak akan meneruskan projek kereta api laju itu kerana berdasarkan model kewangan dibentangkan syarikat konsesi, kita perlu menanggung beban kos kewangan yang besar," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas jumlah kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi projek itu yang dikatakan mampu menjimatkan tempoh perjalanan kereta api dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit, berbanding lebih enam jam ketika ini.


Sulaiman berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan keputusan kerajaan itu kepada kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan tetapi enggan mengulas lanjut.

Projek kereta api laju yang dianggar memerlukan pelaburan berjumlah kira-kira RM8 bilion itu dicadangkan syarikat prasarana dan pembinaan YTL Corporation Bhd (YTL Corp). Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan dan risiko melaksanakan projek kereta api laju itu kerana ia adalah inisiatif swasta.

Sebelum itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pula dilaporkan berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai projek itu, justeru ia dianggap sebagai tidak wujud.

Projek itu mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak kerana dibimbangi merugikan negara, selain boleh menjejaskan pendapatan Penerbangan Malaysia (MAS) dan daya saing Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disasarkan menjadi hab penerbangan serantau.

Baru-baru ini, Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KPPKTMB) turut membantah cadangan projek itu kerana mendakwa ia boleh merugikan negara dalam pelbagai aspek.

Pengarah Urusan YTL Corp, Tan Sri Francis Yeoh, yang mengemukakan idea projek kereta api laju itu pada Januari 2007, dilaporkan berkata pelaksanaannya boleh membantu menjimatkan subsidi minyak yang ditanggung kerajaan.

Sementara itu, penganalisis menganggarkan kos projek kereta api laju itu mungkin mencecah RM11 bilion, selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah dan pembinaan prasarana, khususnya berikutan kenaikan harga minyak serta bahan binaan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |