+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 13, 2008

Muhyiddin kata, Abdullah akan bincang dengan Najib mengenai peralihan kuasa

Klpos



Oleh Bernama
Jumaat, 11 April 2008



PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berbincang dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini.

Beliau berkata Abdullah memberitahu perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Johor di sini bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden Umno.

"Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci... hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan berkenaan di sebuah hotel di sini.

Beliau berkata Abdullah telah pun secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikan beliau.

Abdullah, yang juga Presiden Umno memberitahu Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur Sabtu lepas bahawa Najib adalah penggantinya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.

Muhyiddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, berkata pada perjumpaan itu juga, Abdullah menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan berkaitan pilihan raya umum lepas seperti punca kekalahan, isu berkaitan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi muda.

"Beliau juga menyatakan ada inisiatif sedang dirangka untuk menangani masalah-masalah ini supaya parti lebih kuat lagi," katanya.

Beliau berkata Abdullah meminta pimpinan di semua peringkat membantu dalam perkara berkenaan.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Johor, Nor Aslina Zainal Abidin pula berkata Badan Perhubungan Umno Johor telah bertanyakan kepada Abdullah sama ada beliau mempunyai pelan peralihan kuasa.

"Kita tidak minta Pak Lah berundur tetapi ada bunyi-bunyi bahawa contohnya pada zaman (Perdana Menteri pertama Allahyarham) Tunku Abdul Rahman di mana proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein, begitu juga di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad proses peralihan kuasa berjalan lancar kepada Pak Lah."

Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ketua Umno Batu Pahat berkata pelan peralihan kuasa tersebut akan menjawab persoalan-persoalan yang timbul di kalangan rakyat dan meningkatkan sokongan mereka terhadap kerajaan.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, UMNO Johor tidak meminta Abdullah berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO semasa mesyuarat hari ini.

Shahrir yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata mesyuarat itu yang berjalan dalam suasana ikhlas, mesra dan terbuka hanya membincangkan senario politik parti itu dan Barisan Nasional pada masa ini dan masa depan.

"Beliau tahu. Beliau telah menyatakannya banyak kali. Tidak ada desakan supaya beliau meletak jawatan. Sebab beliau telah pun mengumumkan rancangannya sendiri untuk menyelesaikannya dengan Datuk (Seri) Najib," kata beliau.

Pemberita berulang kali meminta Shahrir menjelaskan hal itu dan beliau menunjukkan notanya mengenai mesyuarat tersebut.

"Abdullah akan bereskan perkara itu dengan (Datuk Seri) Najib selepas Perhimpunan Agung UMNO. Kita akan bekerjasama sehingga perhimpunan agung," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

Ditanya sama ada ini akan diselesaikan semasa perhimpunan itu, Shahrir berkata ia akan diselesaikan selepas perhimpunan kecuali terdapat cabaran terhadap jawatan presiden parti oleh mana-mana anggota semasa perhimpunan.

"Nota saya betul-betul (menyatakan) apa yang telah diperkatakan (di mesyuarat itu)," tegas Shahrir.

Ditanya mengenai ahli-ahli UMNO di Kedah dan Pulau Pulau yang meminta Abdullah meletak jawatan, Shahrir berkata pemberita perlu berhati-hati dalam situasi sedemikian dengan tidak menyebut laporan media dan mesti membezakan sama ada ia benar-benar keputusan sepakat hasil satu perbincangan atau pandangan tertentu yang dilahirkan oleh kalangan tertentu saja.

Sama ada golongan akar umbi dapat menerima keputusan Abdullah, Shahrir menjawab: "Pihak akar umbi saya tidak ada masalah. Akar umbi mana yang anda cakapkan?".

Mengenai rumusan mesyuarat itu, beliau berkata ini akan diumumkan oleh parti dan kerajaan dari masa ke masa.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan mesyuarat hari ini sebagai perbincangan dari hati ke hati yang berjalan dengan baik tanpa sebarang desakan.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Umno Johor telah menyampaikan keputusan yang dirasakan perlu disampaikan kepada Abdullah demi kebaikan dan pengukuhan parti pada masa akan datang.

"Apa yang kita sampaikan itu rahsia. Tetapi tiada soal-soal desakan meminta Pak Lah berundur, sebaliknya mesyuarat hari ini lebih kepada melihat bagaimana soal-soal pengukuhan parti," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |