+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 29, 2008

Penyapu bukan punca BN hilang S'gor

Malaysiakini

Fathi Aris Omar & Syed Jaymal Zahiid | Apr 28, 08 5:14pm

eksklusif Bekas menteri besar Selangor menafikan "anugerah penyapu" kepada seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca BN kalah teruk sehingga negeri itu kini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata sebahagian besar faktor tidak ditentukan oleh negeri tetapi "akibat faktor-faktor nasional" di luar pengaruh negeri itu.

"Saya tidak bersetuju, kalau faktor penyapu menyumbang kepada kekalahan negeri Selangor.

khir toyo broom award"Apa telah berlaku di Pulau Pinang, apa telah berlaku di Kedah, Perak dan juga Wilayah Persekutuan? Itu semua isu politik bila mana kita menafikan, sindrom sangkalan kita," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.

Beliau diminta mengulas tuduhan dua akhbar utama Berita Harian dan New Straits Times, pada 16 April yang mendakwa isu anugerah penyapu, keris dan perobohan kuil sebagai punca-punca yang menyumbang ketewasan teruk BN dalam pilihanraya umum ke-12.

Melalui lidah pengarang yang jarang-jarang dimuatkan di muka depan, dua akhbar itu menyatakan: "Ada yang mahu (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) seorang saja bertanggungjawab atas kekalahan (pilihanraya umum 8 Mac) itu sedangkan mereka terlepas daripada tanggungjawab itu.

"Mereka seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa kebencian sebahagian pengundi kepada BN dan Umno yang berputik sejak sekian lama, disuburkan oleh tindak-tanduk mereka sendiri sehingga menghasilkan buah busuk pada pilihan raya umum lalu."

Tindak-tanduk yang dimaksudkan itu termasuklah upacara menghunuskan keris oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein di persidangan agung Pemuda yang "mengguris hati masyarakat bukan Melayu sehingga pengundi Cina tidak mengundi BN".

Harian itu, yang dianggap dekat dengan perdana menteri, juga mendakwa kejadian merobohkan kuil di Selangor dan menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam sehingga "menyebabkan ramai kakitangan awam dan pengundi Melayu mengundi pembangkang sehingga negeri itu kini bertukar kerajaan."

Anugerah penyapu itu disampaikan Dr Mohamad Khir kepada yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail pada 17 November lepas sebagai lambang pengajaran akibat memberi perkhidmatan yang paling tidak memuaskan daripada keseluruhan PBT di negeri itu.

khir toyo interview 280408Dalam wawancara Khamis lalu, mantan menteri besar itu berkata anugerah penyapu diambil sebagai langkah terakhir selepas beberapa inisiatif diambil untuk memulihkan prestasi PBT selama beberapa tahun.

"Apabila saya bincang, setahun yang lepas (sebelum anugerah kontroversi itu), mereka setuju. Ada cadangan memberi (anugerah) selipar, gantung selipar di leher. Ada pula yang mencadangkan, suruh kita pakaikan baju koyak dan ada mencadangkan beri penyapu," katanya.

"Cuma mungkin kesilapan (saya, menganugerahkan) penyapu (yang) tidak dibalut. Itu sebab yang siapkan (anugerah) itu bukan saya. Pegawai kerajaan yang siapkan semua (acara) ini. Dan sudah dipersetujui sebelum itu," katanya.

Tidak lama selepas wawancara tersebut, Dr Mohamad Khir juga menyentuh isu yang sama di blognya.

"Hadiah penyapu dipilih kerana ia merupakan simbolik sebagai usaha untuk membersihkan sikap buruk dan masalah di PBT tersebut," coretnya.

"Perkara ini turut diberitahu oleh salah seorang pegawai (bahawa menjadi amalan) biasa dilakukan di negara-negara yang mempunyai produktiviti tinggi seperti di Korea Selatan.

"Dan saya telah mengarahkan supaya mesyuarat membuat pilihan, akhirnya penyapu telah dipersetujui sebagai hadiah kepada PBT yang gagal mencapai tahap pungutan cukai minima."

Keputusan setahun lebih awal itu, tambahnya lagi, dibuat agar PBT mempunyai masa yang cukup untuk meningkatkan tahap kecekapan mereka.


>>> Wawancara lengkap Umno has lost touch with reality

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |