+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 29, 2008

PR, ambil iktibar insiden Khir Toyo dengan penyapu

Harakahdaily

Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin

Thu | Apr 24, 08 | 3:35:58 pm MYT

"Inilah kali pertama Khir Toyo angkat tangan pada saya. Dulu masa jadi MB menonong saja, tak tengok orang pun," luah seorang pegawai kerajaan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Dah kalah baru hendak senyum dengan orang, manusia...manusia," tambah pegawai tersebut.

Demikian antara luahan pegawai kerajaan Mais yang berada di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika majlis mengangkat sumpah, 22 April lalu yang sempat saya rakamkan dalam minda. Image

Ketika Dr Mohd Khir Toyo (bekas MB kini Ketua Pembangkang) mengangkat tangan pada petugas itu, penulis berada di sebelahnya.

Jika sebelum ini ada orang yang membuka pintu kereta sebaik saja beliau ke sampai ke bangunan dewan persidangan, sekarang beliau terpaksa membuka sendiri pintu itu.

Tarikh 22 April membuka lembaran baru bagi rakyat Selangor untuk mematuhi peraturan kerajaan baru Pakatan Rakyat (PR) di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.

Ketika majlis angkat sumpah, pihak media, pegawai kerajaan dan pemerhati ternanti-nanti lafaz perjanjian Khalid; Speaker Teng Chang Khim dan Adun Pakatan Rakyat.

Penulis turut tidak sabar menanti detik bersejarah Khir Toyo melafaz janji menjadi Adun dan Ketua Pembangkang kerajaan Selangor. Semua petugas media bangun mahu melihat raut wajah Khir ketika mengangkat sumpah di hadapan Speaker, Teng Chang Khim.

Kedengaran suara; "Sejarah hitam bagi Khir....oklah dah lama memerintah..."

Menjadi pemimpin politik tidak seperti pegawai dan kakitangan kerajaan atau petugas swasta yang 'makan gaji'. Rajin bekerja atau tidak, gaji tetap diperolehi setiap bulan.

Orang politik jika hanya tahu mementingkan kemewahan diri sendiri, menghadapi risiko tidak dipilih lagi. Rakyat sekarang sudah cerdik menilai kewibawaan wakil rakyat.

Hakikat kepimpinan adalah suatu tanggungjawab dan amanah daripada Allah SWT. Menjadi seorang pemimpin bukan untuk bermegah atau mengejar populariti semata-mata.

Lebih penting wakil rakyat bertanggungjawab membawa rintihan dan hasrat rakyat untuk diperdengarkan kepada pihak atasan.

Sementara menunggu majlis angkat sumpah bermula 10 pagi penulis bersama jurugambar, Mohd Nasir Sudin mengisi perut di dewan makan yang mejanya sudah terhidang lontong dan kuih muih.

Dewan makan itu bukan saja dikhaskan untuk pihak media tetapi exco, Adun kerajaan dan pembangkang, pegawai kerajaan serta petugas DUN turut makan di situ.

Penulis melihat setiap Adun yang datang menuju ke tempat duduk untuk menikmati hidangan. Semua wajah Adun dan exco kerajaan ceria lebih-lebih lagi berjalan beriringan dengan pasangan hidup masing-masing.

Ketika sibuk memerhatikan kehadiran Adun dan exco, penulis terkejut dihampiri Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang begitu mesra bertanya khabar.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini telah mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang meminta supaya 'kami' tidak memanggilnya YB.

Permintaan begitu turut dinyatakan Adun Hulu Klang, Shaari Sunghib. Beliau yang ditemani isteri meminta supaya penulis tidak memanggilnya YB tetapi mengekalkan dengan panggilan 'Pak Abu'.

Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim yang ditemui di dewan makan sebelum mengangkat sumpah, berkata: "Saya diberi peluang untuk berkhidmat dengan masyarakat, dulu saya pernah kata, saya masuk miskin saya akan keluar miskin."

Pada awalnya penulis kurang memahami kata-kata itu tetapi setelah diamati luahan beliau mengandungi seribu erti. Penampilan beliau sebelum dan selepas menjadi Adun tiada bezanya.

Sikap rendah diri yang ditonjolkan oleh sebahagian besar ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat menyebabkan penulis berasa malu dengan diri sendiri.

Jika mereka sebagai pemimpin rakyat tidak mementingkan gelaran apa lagi penulis yang hanya seorang pekerja parti (PAS).

Bagi penulis, sikap bermegah, sombong atau angkuh dengan jawatan serta gelaran tidak membawa kebahagiaan yang hakiki.

Sebaliknya mereka yang mementingkan gelaran dan kesombongan hanya akan menjadi umpatan dan kejian rakan sejawat, masyarakat dan rakyat.

Penulis kerap bertemu dengan Adun Bukit Antarabangsa merangkap ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali. Setiap kali bertemu beliau, penulis tidak sempat mendahului untuk bertanya khabar. Sebaliknya beliau yang mendahului menegur penulis.

Begitu juga dengan sikap ramah mesra Adun Gombak Setia, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali. Inilah antara sikap 'mesra rakyat' yang seharusnya dicontohi oleh seluruh wakil rakyat bukan saja di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat tetapi Umno-BN.

Apakah wakil rakyat Umno-BN selama ini menunjukkan 'mesra rakyat'? Sebagai contoh jika Khir Toyo selama menjadi MB bersikap 'mesra rakyat' sudah pasti pegawai kerajaan tidak 'mengumpat' begitu sebegitu.

Apatah lagi Khir pernah membuat kaki tangan kerajaan marah selepas menghadiahkan penyapu kepada mereka. Mungkinkah Khir akan dihadiahkan penyapu pula selepas ini kerana seseorang itu akan menerima pembalasan setimpal di atas setiap perbuatannya di dunia lagi sebelum dihukum di akhirat.

Kekalahan Umno-BN di Selangor di atas sikap keterlaluan pemimpinnya boleh dijadikan pengajaran kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PAS, KeADILan dan DAP).

Jika mengamalkan pendekatan 'mesra rakyat' mereka bukan saja boleh mengekalkan pemerintahan di Selangor tetapi boleh menguasai Malaysia, insya-Allah. - lanh

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |