+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 25, 2008

Retro Isu Royalti : Kerajaan Pusat Tiada Hak Hapus Royalti Terengganu

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SM Noor
Friday, 25 April 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita1/royalti.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang hak untuk menafikan pembayaran wang royalti minyak daripada Petronas kepada kerajaan Terengganu.

Demikian dinyatakan oleh Tun Dato' Dr Haji Mohd. Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara yang juga menjadi anggota Exco kerajaan Negeri Terengganu ketika di wawancara media pada tahun 2000.

Beliau menyatakan menurut undang-undang dibawah Seksyen 4 Akta kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara negeri itu dengan Petronas pada 22 Mac 1975, kerajaan Pusat tidak ada kena mengena langsung yang membolehkan ia campur tangan dalam perjanjian ini untuk menghapuskan hak kerajaan Terengganu.

"(Campur tangan kerajaan Pusat) ini adalah bertentangan dengan undang-undang kontrak dan Perlembagaan Persekutuan." kata Tun Salleh

Beliau menggesa kerajaan persekutuan berpegang kepada prinsip perundangan dan "tidak sepatutnya bertindak liar sedemikian" dan "tindakan ganas ini" (pemberian wang ehsan atau dana khas) hendaklah ditarik semula.

"Tidak ada persetujuan yang sedemikian telah dibuat (antara kerajaan pusat dengan negeri), bahkan kerajaan negeri Terengganu pun tidak tahu dan langsung tidak diberitahu secara rasmi oleh Petronas dan kerajaan pusat," katanya lagi.

Beliau berkata tindakan menukarkan nama bayaran kepada wang ehsan (kemudian dana khas) tidak akan mengubah kedudukan bayaran itu pada segi undang-undang kerana ia mesti dibayar oleh Petronas dan menjadi hak Terengganu.

Beliau menafikan dan membidas kenyataan kerajaan pusat bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memberikan royalti pada 1974 kerana Terengganu dianggap negeri paling miskin waktu itu.

"(Kenyataan) itu tidak boleh diterima akal," kata Mohd Salleh.

Menurutnya, Akta Kemajuan Petroleum berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974 dan perjanjian wang tunai (royalti) di bawah akta itu dibuat pada pada 22 Mac 1975.

Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 tetapi petroleum hanya dijumpai di persisiran pantai Terengganu pada pertengahan tahun itu dan dikeluarkan dua tahun kemudian. Pada tahun 1978, Terengganu menerima royalti lebih kurang RM13 juta.

"Mustahil Abdul Razak mengarahkan supaya royalti petroleum dibayar kepada Terengganu sebelum beliau meninggal dunia sedangkan petroleum belum dijumpai," jelas bekas Ketua Hakim Negara itu. The image “http://buletinonline.net/images/berita/aqel.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Berikut disiarkan juga sebahagian wawancara dengan Tun Salleh ;

1. Soalan : Siapakah yang berhak atas royalti minyak ini; Kerajaan Pusat atau Kerajaan Terengganu?

Jawapan : Royalti minyak adalah hak Kerajaan Negeri Terengganu yang mesti dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh PETRONAS, sebabnya :

a. Seksyen 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyatakan bahawa hak kepunyaan petroleum keseluruhannya sama ada di darat atau di laut adalah terserah (vested) kepada PETRONAS dan penyerahan hak kepunyaan ini akan berkuat kuasa apabila surat acara penyerahan telah ditandatangani. Penyerahan ini adalah muktamad, tidak boleh ditarik balik dan kepunyaan itu adalah menjadi hak kepunyaan PETRONAS buat selama-lamanya.

b. Di bawah Seksyen 4, sebagai balasan penyerahan ini, PETRONAS diwajibkan membayar kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan, iaitu negeri di mana petroleum dijumpai dan diusahakan satu jumlah wang sebanyak yang dipersetujui di antara pihak berkenaan.

c. Surat cara penyerahan hak kepunyaan telah dibuat oleh semua negeri di Malaysia, termasuklah negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bagi Negeri Terengganu surat acara itu ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Terengganu pada masa itu sebagai mewakili negeri dan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Pengerusi dan Ketua Eksekutif PETRONAS, mewakili PETRONAS. Surat cara penyerahan itu dibuat di Kuala Terengganu pada 22 Mac 1975.

d. Pada hari yang sama dan ditempat yang sama satu perjanjian ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganumewakili Negeri dan oleh Tengku Razaleigh mewakili PETRONAS. Perjanjian ini menetapkan jumlah wang tunai yang mesti dibayar oleh PETRONAS kepada Kerajaan Negeri sebanyak lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati di Negeri Terengganu dan dijual oleh PETRONAS atau agen-agen atau kontraktor-kontraktornya. Bayaran ini hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh enam bulan yang pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh enam bulan yang kedua, iaitu daripada bulan Julai hingga bulan Disember. Adalah diingatkan bahawa bayaran wang tunai itu tidak diberi nama apa-apa sama ada royalti atau bayaran ihsan.

e. Pada 16 September 1987 PETRONAS memeberi nama bayaran wang tunai ini sebagai bayaran royalti. Ini jelas disebut dalam surat Tan Sri Abdullah Salleh selaku Presiden PETRONAS kepada Dato’ Seri Amar Diraja, Menteri Besar Terengganu. Surat ini merakamkan persetujuan di antara PETRONAS dengan Negeri Terengganu tentang bagaimanakah lima peratus royalti itu dikira atau dihitung. Tajuk surat ini ialah:

Computation of royalty payment to the Government of The State Of Terengganu by PETRONAS for the production of petroleum. (Penghitungan bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh PETRONAS kerana pengeluaran petroleum).

Kesimpulannya ialah bayaran wang tunai itu ialah PETRONAS sebagai balasan menerima hak kepunyaan petroleum daripada Kerajaan Negeri terenganu. Bayarannya itu bukan satu bayaran ihsan sebagai belas kasihan atau murah hati PETRONAS. Bayaran itu diwajibkan apabila petroleum diperolehi di darat ataupun di laut Negeri Terengganu dan dijual. Sekiranya petroleum diperolehi dinegeri-negeri lain, seperti Pahang,Johor,kelantan dan sebagainya negeri-negeri itu berhak kepada bayaran tersebut kerana tiap-tiap buah negeri ada membuat surat cara penyerahan hak kepunyaan dan juga menandatangani perjanjian lima peratus bayaran wang tunai. Tetapi Allah Yang Maha Kuasa dan Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang telah memberi berkat kepada Negeri Terengganu. Dilaut negeri lain petroleum tidak dijumpai, tetapi di laut negeri Terengganu petroleum dijumpai. Yang demikian, negeri negeri Terengganu ialah sebuah negeri yang berkenaan sebagaimana negeri Sabah dan Sarawak. Satu kesimpulan lain ialah bayaran wang tunai ini ialah bayaran royalti kerana mengikut undang-undang, khususnya amalan perniagaan (Commercial Usage) royalti itu ialah satu bayaran yang wajib dibuat oleh penerima hak kepunyaan kepada tuannya yang menyerahkan hak kepunyaan itu. Syarikat-syarikat minyak menggunakan perkataan royalti kepada bayaran mereka buat sebagai balasan kepada mana-mana concession yang mereka dapat. Bayaran royalti setakat lima peratus itu adalah hak Kerajaan Terengganu dan rakyat Negeri Terengganu dan PETRONAS wajib membayarnya. Hak kerajaan Terengganu tidak boleh diganggu dan dibolot oleh Kerajaan Pusat.

2. Soalan : Bolehkan Kerajaan Pusat menafikan hak Kerajaan Negeri Terengganu?

Jawapan : Oleh kerana hak royalti itu hak Negeri terenganu ,Kerajaan Pusat tidak ada kuasa menafikan atau menghapuskan hak Kerajaan Negeri Terengganu melainkan Kerajaan Negeri Terengganu sendiri bersetuju. Tidak ada persetujuan yang demikian telah dibuat bahkan Kerajaan Negeri Terengganu pun tidak tahu dan langsung tidak diberitahu secara resmi oleh PETRONAS dan Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak mempunyai apa-apa hak.Kerajaan Negeri tidak pernah diminta berunding dan bicara mengenai hal-hal ini. Apa yang diketahui ialah melalui salinan fotostat siaran akhbar Kementerian Kewangan sahaja bertarikh 5 september 2000. Itulah pada awalnya Menteri Besar Terengganu teragak-agak menerima siaran akhbar itu sebagai kenyataan yang benar dibuat oleh Kerajaan Pusat.

Sekarang sudah jelas dan nyata bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah dinafikan haknya kerana royalti bagi pengeluaran dalam tempoh bulan Januari hingga 1 Julai tahun 2000 ini yang sepatutunya dibayar pada 1 September 2000 belum lagi dibayar. Mungkin wang royalti itu sudah dibayar kepada Kerajaan Pusat. Cara Kerajaan Pusat menghapuskan hak Kerajaan Terengganu ialah dengan cara mengubahkan nama bayaran wang tunai daripada perkataan royalti kepada perkataan bayaran ihsan amatlah dikesali sekali.

Royalti ialah satu bayaran yang wajib oleh penerima hak kepunyaan kepada pemunya hak yang menyerahkan hak itu; tetapi bayaran ihsan ialah satu bayaran sukarela atas belas kasihan si pembayar sahaja. Sudah tentu bayaran ini tidak mesti atau diwajibkan dibuat. Dan jika dibuat pun masa bila dan jumlah berapa banyak bayaran hendak dibuat bergantung kepada budi bicara pembayar itu sendiri.Dengan menukarkan nama bayaran wang tunai itu daripada bayaran royalti kepada perkataan bayaran ihsan tidak akan mengubah kedudukan bayaran itu kerana ia tetap wajib dibayar oleh PETRONAS dan menjadi hak Kerajaan Terengganu. Jika benar bayaran wang tunai itu bayaran ihsan dan suatu bayaran yang tidak wajib, kenapakah mesti adanya penukaran nama itu?

Penukaran nama ini adalah semata-mata untuk mengelirukan pemahaman rakyat mengenai royalti petroleum. Selain daripada itu tanggungan (Obligation) PETRONAS membayar wang tunai ini adalah diwajibkan oleh Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian pada 22 Mac 1975 di antara PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Terengganu. Kerajaan Pusat tidak ada kena mengena dengan perjanjian ini dan tidak boleh campur tangan sama sekali untuk menghapuskan hak Kerajaan Terengganu. Perbuatan ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Kita berharap Kerajaan Pusat yang sering melaungkan sebagai kerajaan demokrasi dan berpegang kepada prinsip rule of law tidak sepatutnya bertindak liar sedemikian.

3. Soalan: Benarkah Allahyarham Tun abdul Razak membuat keputusan pada tahun 1974 agar memberi royalti minyak kerana Negeri Terengganu adalah sebuah negeri yang termiskin pada ketika itu?

Jawapan : Kenyataan ini adalah satu anggapan yang tidak benar. Kenyataan ini dibuat oleh Kementerian Kewangan sebagai alasan menafikan atau menghapuskan hak royalti petroleum Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1974. Petroleum belum lagi dijumpai di dasar laut mana-mana negeri di Semenanjung khususnya di negeri Terengganu. Petroleum yang dijumpai pada masa itu hanyalah di dasar laut Sabah dan Sarawak sahaja. Benar sekali negeri Terengganu pada masa itu miskin bahkan pada masa ini pun negeri ini masih lagi miskin.

Pada tahun 1974 Allahyarham Tun Abdul Razak tidak tahu sama ada petroleum akan dijumpai atau tidak di mana-mana negeri di Semenanjung. Pada masa itu saya memegang jawatan Peguamcara Negara dan sayalah yang mengarang Akta Kemajuan ini di bawah arahan Allahyarham Tun Abdul Razak. Allahyarham Tun Ismail Ali (bekas Gabenor Bank Negara), Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub dan Tengku Razaleigh. Pada ketika itu perhubungan Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah amatlah genting dan tegang.

Masalah dengan Sarawak ialah tentang royalti petroleum yang mana Sarawak mendakwa hampir-hampir 100 peratus royalti. Begitu juga negeri Sabah. Alasan mereka menuntut sepenuh royalti itu ialah kerana mereka berkata bahawa sebelum mereka masuk Malaysia pada tahun 1963 mereka sudah ada dasar laut bersendirian yang diisytiharkan oleh Kerajaan Kolonial British.


Catatan :

Berita dan artikel ini pernah disiarkan oleh Siaran Warta Terengganu dan Malaysiakini sekitar November, 2000. Ia diubah mengikut kesesuaian masakini

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |