+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 18, 2008

Saya Menunggu 20 Tahun Dan Doa Saya Telahpun Dimakbulkan, Kata Tun Salleh Abas

Bernama

18 April, 2008 02:08 AM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- "Saya bersyukur kepada Allah kerana bersifat pengasih dan penyayang kepada saya, saya menunggu selama 20 tahun dan doa saya telahpun dimakbulkan."

Itu adalah reaksi segera daripada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas selepas kerajaan membuat keputusan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada bekas hakim-hakim yang dipecat ketika berlaku krisis kehakiman pada 1988.

Salleh dipecat pada Ogos 1988 selepas menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak hakim-hakim itu, yang menyuarakan kekecewaan berhubung dakwaan yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan (ketika itu dikenali sebagai Mahkamah Agung) yang membenarkan beliau (Salleh) dengan perintah interlokutori terhadap tribunal yang diketuai oleh penggantinya, juga digantung tugas pada Julai tahun yang sama, tetapi tiga daripada mereka dikembalikan semula jawatan pada Oktober.

Ketiga-tiga mereka -- Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Wan Mohamed Salleh dan Tan Sri Eusoffe Abdoolcader -- bagaimanapun dikembalikan semula jawatan tiga bulan kemudian.

Dua hakim lagi iaitu Datuk Seri George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, dipecat.

Eusoffe dan Wan Suleiman telahpun meninggal dunia.

"Saya tahu saya tidak boleh menang daripada segi undang-undang di hadapan kerajaan terdahulu tetapi doa saya dimakbulkan hari ini kerana saya diberikan kemenangan moral.

"Jadi malam ini semua orang boleh mengatakan yang kemenangan moral kini diberikan kepada saya," kata beliau kepada pemberita di akhir jamuan malam anjuran Majlis Peguam Malaysia di sini yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam ucapannya, Abdullah mengumumkan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk membuat bayaran ex-gratia kepada Salleh dan lima hakim lagi atas sumbangan mereka kepada negara.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |