+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 4, 2008

Tumpu usaha pulih UMNO



NAJIB TUN RAZAK (kiri) dan HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN (kanan)


KUALA LUMPUR 3 April – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua ahli UMNO menumpukan usaha memulihkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara jelas menyatakan hasrat untuk terus mentadbir negara, dan oleh itu semua anggota parti perlu bersikap terbuka dengan menerima susunan dan struktur parti yang ada pada masa ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pendirian Abdullah semalam juga telah menjawab segala pandangan yang meminta agar Perdana Menteri berundur.

“Kalau beliau (Abdullah) memutuskan untuk meneruskan (tadbir negara), maka beliau berhak untuk teruskan.

“Apa yang penting sekarang ialah kita membantu untuk proses pemulihan parti dan keyakinan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Laut yang baru, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar, yang dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April lalu.

Najib mengulas kenyataan Abdullah semalam yang menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Spekulasi itu timbul ekoran gesaan oleh beberapa pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lepas dengan meletakkan jawatan.

BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, manakala pembangkang memenangi 82 kerusi.

BN juga gagal mengekalkan kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain tidak dapat merampas kembali Kelantan daripada Pas.

Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir-akhir ini turut menyemarakkan spekulasi itu.

Najib berkata, desakan agar Perdana Menteri meletakkan jawatan hanyalah pandangan pihak-pihak tertentu dan beliau sebagai orang nombor dua dalam kerajaan akan membantu Perdana Menteri untuk sama-sama memulihkan parti dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Kita akan sama-sama bekerja sebagai satu pasukan Kabinet serta parti dan itulah tugas utama yang perlu difokuskan,” katanya.

Tambah Najib, Abdullah tidak hilang kuasa sebagai Perdana Menteri kerana beliau masih menerima sokongan daripada Kabinet dan ahli-ahli parti.

Ditanya apakah UMNO kini memerlukan perubahan besar-besaran, Timbalan Presiden parti itu berkata, sebarang tindakan bergantung kepada kehendak dan suara ahli.

“Suara ramai dalam parti yang akan menentukan hala tuju dan masa depan parti,” katanya.

Mengenai keperluan mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membincangkan pelbagai masalah dalaman terutama berkaitan pemansuhan isu kuota untuk bertanding jawatan, Najib berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT).

Dalam pada itu, mengulas lebih lanjut berhubung usaha pemulihan parti, katanya, beliau bersama dengan anggota-anggota jawatankuasa parti akan melawat Kedah pada Khamis depan, diikuti negeri-negeri lain di mana BN telah tewas pada pilihan raya umum lalu.

“Kita mahu mencari jalan bagaimana untuk membantu memulihkan parti di peringkat negeri dan bahagian dan bagaimana wakil rakyat serta Ahli Parlimen kita di negeri-negeri yang kalah dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |