+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 18, 2008

Harga LPG di Sabah,Sarawak turun 8 sen

Utusan Online


PUTRAJAYA 16 April - Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 8 sen di Sabah dan Sarawak bagi menyeragamkan harga bahan bakar itu dengan harga di Semenanjung Malaysia.

Dengan penurunan itu, harga LPG di kedua-dua negeri itu kini RM1.75 berbanding RM1.83 sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, keputusan menurunkan harga itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

"Keputusan tersebut bukan bermotifkan politik kerana Sabah dan Sarawak sebahagian daripada Malaysia justeru mereka wajar menikmati harga runcit LPG yang sama.

"Sehubungan itu, bermula esok orang ramai boleh membuat laporan kepada kementerian melalui talian bebas tol 1800- 886-800 jika terdapat peniaga yang masih menjual LPG pada harga lama.

"Prinsip kerajaan seboleh-bolehnya menyeragamkan dari segi harga barang yang dikawal tetapi tindakan dan keputusan ditentukan oleh pihak jawatankuasa," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Shahrir berkata, Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi sedang giat mengkaji Dasar Jaminan Makanan bagi membolehkan seberapa banyak harga barangan dapat dikawal oleh kerajaan.

Sebagai contoh, harga minyak masak yang dijual pada harga RM2.50 di Semenanjung kini dijual 10 peratus lebih mahal di Sabah dan Sarawak.

"Saya rasa tiada keadilan jika kadar kemiskinan yang besar di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung tetapi mereka perlu membayar lebih, ini bukan berunsurkan politik," katanya.

Terdapat 11 jenis barangan termasuk petroleum dikategorikan sebagai barangan kawalan.

Mengulas mengenai permintaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) yang meminta kerajaan memansuhkan harga siling ayam kerana pelaksanaannya merugikan penternak beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |