+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 12, 2008

CUEPACS akur keputusan tidak beri sagu hati

Utusan Online

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 10 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akur dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberikan bayaran sagu hati RM2,000 kepada kakitangan sektor awam atas perkhidmatan mereka tahun lalu.

Presidennya, Omar Osman berkata, beliau menerima penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai bayaran itu dan tidak akan membuat tuntutan lanjut mengenainya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan akan membuat tuntutan seumpama itu bagi tempoh perkhidmatan tahun ini dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat kongres akan datang.

''Dalam pertemuan dahulu, kita akur dengan penjelasan kerajaan dan kita bersetuju agar tidak menerima bayaran sagu hati bagi tahun 2007. Bayaran sagu hati (2007) itu kita tutup cerita, kita mungkin ada isu lain. Itu bayaran sagu hati untuk 2007, bayaran untuk 2008 lain,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di sini hari ini.

Mengenai pelanjutan umur bersara wajib untuk kakitangan sektor awam daripada 56 kepada 58 tahun, Omar berkata, pengumuman Perdana Menteri itu menepati sasaran yang dikehendaki CUEPACS.

''Walaupun CUEPACS memohon 60 tahun, tetapi sasaran kita memang 58 tahun dan memorandum asal kita memang letak 58 tahun. Daripada enam perkara tuntutan CUEPACS, 90 peratus daripada lima tuntutan kita diterima kerajaan. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri,'' katanya.

Omar berkata, umur persaraan wajib pada 58 tahun dilihatnya sebagai wajar selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk faktor kesihatan dan produktiviti kakitangan awam.

''Kita juga mengambil kira siswazah universiti dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan pekerjaan,'' katanya.

Sementara itu, Omar berkata, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada ahli- ahli CUEPACS mengenai hubungan tegang antara majikan dengan pekerja yang dilapor- kan di sesetengah agensi kerajaan.

''Sejumlah 80 peratus hubungan majikan dengan pekerja adalah baik tetapi di sesetengah agensi, hubungannya tidak baik yang mana ada majikan yang tidak menghormati kesatuan. Saya akan kenal pasti jabatan kerajaan tersebut dan saya akan membawa perkara ini kepada Ketua Setiausaha Negara,'' katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |