+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 3, 2008

Istana arah tarik balik - Raja Nazrin titah MB Perak kekalkan Jamry Pengarah JAIP


MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (kiri) dipanggil menghadap Raja Nazrin semalam, berhubung pertukaran serta-merta Pengarah JAIP, Jamry Sury manakala Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (kanan) mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai kemelut jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri itu.


IPOH 2 Mei – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini menitahkan pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury ditarik balik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini petang ini, Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry Selasa lalu telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Titah Sultan Perak menarik balik arahan pertukaran Jamry yang juga Setiausaha MAIAMP itu disampaikan kepada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini.

Susulan itu, Raja Nazrin, atas kedudukan baginda sebagai Yang Dipertua MAIAMP, telah menitahkan Mohammad Nizar, 51, menghadap baginda pada pukul 11 pagi ini di Istana Raja Muda Perak di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu yang baru memimpin kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas selama 46 hari diminta menjelaskan kepada baginda berhubung arahan supaya Jamry, 47, ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah JAIP.

Selasa lalu, Jamry diarahkan mengosongkan pejabatnya oleh Mohammad Nizar. Tindakan terhadap Jamry yang ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu dipercayai ada kaitan dengan pertikaian mengenai isu-isu pentadbiran agama dan usaha Menteri Besar itu untuk menukar senarai ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak.

Menurut kenyataan Istana Perak yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit kepada Sultan, Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor, ketika Mohammad Nizar dipanggil menghadap, Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Sultan supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan ke atas Jamry ditarik balik.

Kenyataan itu menyebut: “Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran kerajaan yang dilakukan oleh Jamry, maka kerajaan negeri diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Sultan.

“Sultan yang akan menitahkan proses undang-undang selanjutnya sebelum diambil apa-apa keputusan secara muktamad.

“Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Perak dan Raja Muda dianggap telah membelakangkan kedudukan Sultan sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua MAIAMP.”

Sebelum itu, kira-kira pukul 11 pagi, Mohammad Nizar dilihat tergesa-gesa meninggalkan Mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) yang diadakan di Bangunan LAP di sini selepas dipanggil ke istana.

Selasa lalu, beliau telah mengarahkan Jamry bertukar dengan mendakwa Jamry tidak boleh memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

Perbuatan Mohammad Nizar itu segera dibidas oleh ahli-ahli politik di Perak kerana ia dikatakan melanggar tradisi negeri ini. Di negeri ini, semua pelantikan melibatkan institusi agama dibuat dengan perkenan Sultan Perak selaku ketua agama Islam.

Menurut kenyataan Istana Perak, Sultan Azlan bertitah, pentadbiran kerajaan negeri perlu memperlihatkan satu bentuk amalan yang adil termasuk dalam pertukaran para pegawai.

Baginda dipetik sebagai mengingatkan bahawa proses keadilan itu hendaklah dipatuhi supaya tidak ada dalam kalangan rakyat merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa.

“Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu.

“Prinsip keadilan sejagat perlu dihormati. Oleh itu, mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Pada pandangan istana, pelantikan Jamry selaku Pengarah JAIP yang juga berperanan sebagai Setiausaha MAIAMP hanya dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak.

Kenyataan itu menegaskan, urusan agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggungjawab dengannya adalah di bawah kuasa mutlak Sultan.

“Pada tafsiran Sultan Perak, Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan memaklumkan kepada Sultan dan juga kepada Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam.

“Ia merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama,” ujar kenyataan itu.

Malah, ketika Mohammad Nizar menghadap Raja Nazrin pagi ini, Raja Muda Perak itu memperingatkan Menteri Besar berkenaan hubungan kerja dengan istana.

Hubungan kerja yang menghormati Sultan, kata kenyataan itu, merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang sentiasa diamalkan serta dihormati oleh setiap Menteri Besar dengan pihak istana selama ini.

Raja Muda bertitah, hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman itu wajiblah dihormati pada setiap masa.

Menurut kenyataan itu, Raja Nazrin Shah juga telah menyampaikan nasihat dan pandangan Sultan Perak bahawa seseorang ketua kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan.

Sebagai Menteri Besar, Mohammad Nizar, titah baginda, perlu mematuhi prosedur dan tatacara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada.

Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.

“Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |