+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 18, 2008

Jangan bicara sendiri - Ini tidak adil bagi individu terbabit klip video Lingam – PM

KUALA LUMPUR 17 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak termasuk media supaya tidak melakukan perbicaraan sendiri ke atas individu-individu terbabit atau dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V.K. Lingam.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menunggu sehingga siasatan Jabatan Peguam Negara ke atas perkara tersebut selesai dijalankan.

‘‘Kita jangan lemparkan apa-apa tuduhan hingga mewujudkan pendakwaan melalui media kerana ini tidak adil kepada mereka yang berkenaan selain memang tidak sepatutnya dilakukan.

‘‘Apa yang terdapat dalam laporan itu terserahlah kepada pihak yang berkenaan (Peguam Negara). Maka tunggulah siasatan selesai dan bukannya buat siasatan sendiri, kemudian tuduh yang bukan-bukan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Malaysia ke-11 di sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas mengenai kedudukan keenam-enam individu yang disebut dalam laporan suruhanjaya berkenaan termasuk berhubung kedudukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ada kemungkinan berlaku kesalahan di sisi undang-undang membabitkan individu yang disebut dalam laporan berkenaan.

Berikutan itu, Zaid memaklumkan Kabinet telah mengarahkan supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta-merta ke atas segala tuduhan terhadap individu-individu yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya itu.

Keenam-enam individu itu ialah peguam, Datuk V.K. Lingam, ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan; Tengku Adnan; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin; dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, ditanya apakah kerajaan akan mengecualikan Dr. Mahathir daripada sebarang tindakan memandangkan kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri, Abdullah berkata;

‘‘Laporan berkenaan telah diserah kepada Peguam Negara dan beliau selaku penasihat undang-undang kepada kerajaan akan memaklumkannya kepada kerajaan.

‘‘Jadi pada waktu ini saya tidak ada apa-apa kenyataan berhubung perkara ini,’’

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan beberapa syor yang dikemukakan oleh suruhanjaya untuk memperbaiki sistem kehakiman negara.

‘‘Semuanya (yang dicadangkan suruhanjaya) itu kita fikirkan dan pertimbangkan, cuma terpulang kepada kerajaan untuk menentukan bentuk tindakan yang akan diambil.

‘‘Sebenarnya sebelum ini pun tindakan telah diambil (untuk memperbaiki sistem kehakiman). Selain dari itu saya tak nak buat apa-apa komen lanjut, tunggu nasihat daripada Peguam Negara,’’ katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |