+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 6, 2008

Ketua Paderi dapat kebenaran untuk mohon semakan penghakiman bagi penggunaan "Allah"

Mstar Online

05-05-2008 08:53:12 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberikan kebenaran kepada Ketua Paderi Kuala Lumpur untuk memohon bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan "The Herald-Catholic Weekly".

Dalam penghakimannya Hakim Lau Bee Lan berkata beliau bersetuju dengan peguam Porres Royan, yang mewakili Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam, bahawa adalah pramatang untuk mahkamah mendengar hujah berhubung remedi yang sesuai di peringkat awal ini.

Katanya sama ada remedi itu sesuai atau tidak perlu ditentukan di peringkat merit, di mana mahkamah perlu mencorakkan remedi itu agar sesuai dengan kedudukan tertentu kes itu.

"Berdasarkan alasan yang diberikan, saya mendapati bantahan oleh peguam kanan persekutuan yang bijaksana, berhubung pengisytiharan bahawa pemohon berhak menggunakan perkataan "Allah" dalam The Herald dan perkataan Allah tidak hanya "eksklusif" bagi agama Islam, adalah tanpa merit dan dengan itu ditolak.

"Mahkamah dengan ini membenarkan permohonan pemohon bagi kebenaran itu mengikut Perintah 53, Peraturan 3(1), Peraturanperaturan Mahkamah Tinggi, untuk menggugurkan keputusan Kementerian yang melarang mereka (pemohon) daripada menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan itu," katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tarikh bagi pendengarannya.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Porres berkata beliau akan memfailkan permohonan bagi semakan penghakiman itu dalam masa dua minggu.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ketua Paderi itu, S. Selvarajah, berkata mereka kini boleh meneruskan hasrat mengemukakan hujah di mahkamah atas merit kes itu yang menuntut tiga perisytiharan seperti yang dinyatakan dalam permohonan.

Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Datuk Murphy Pakiam, selaku penerbit The Herald, dinamakan sebagai pemohon dalam tindakan itu, manakala Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini digabungkan dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membentuk Kementerian Dalam Negeri) dan kerajaan dinamakan sebagai responden.
Murphy diwakili pasukan lima peguam terdiri daripada Porres, Leonard Teoh, Derek Fernandez, Selvarajah dan Annou Xavier.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi dan Suzana Atan mewakili Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan.

Permohonan itu, difailkan pada 19 Mac, memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan sebagai batal dan tidak sah keputusan kementerian bahawa "permit penerbitan itu perlu mematuhi garis panduan penerbitan, yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam The Herald, dalam surat bertarikh 12 Feb.

Ketua Paderi juga memohon perisytiharan daripada Mahkamah Tinggi bahawa perkataan "Allah" boleh digunakan dalam The Herald dan tidak hanya eksklusif untuk Islam. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |