+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 10, 2008

Laporan inkuiri klip video Lingam perlu didedahkan kepada umum: Haidar

Mstar Online

09-05-2008 03:34:49 PM

KUALA LUMPUR: Laporan inkuiri "klip video Lingam" perlu didedahkan kepada umum, kata Tan Sri Haidar Mohamed Noor, Pengerusi Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video V.K. Lingam, hari ini.

Beliau, bagaimanapun, berkata terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memutuskan sama ada kandungan laporan itu perlu didedahkan kepada umum atau sebaliknya.

"Secara peribadi, saya fikir laporan itu patut didedahkan kepada umum tetapi terserahlah kepada Perdana Menteri," katanya kepada Bernama selepas menyerahkan empat jilid laporan yang kesemuanya berjumlah 186 muka surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Bekas Hakim Besar Malaya itu berkata beliau berpuas hati dengan penemuan yang diperoleh daripada inkuiri bagi menyiasat klip viedo menunjukkan imej seorang peguam sedang berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim, yang berlangsung selama 17 hari bermula pada 14 Jan lepas.

Haidar berkata suruhanjaya lima anggota itu tidak boleh mendedahkan isi kandungan laporan itu tetapi akan mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya laporan itu didedahkan kepada umum.

"Kami juga tidak boleh memberitahu empat cadangan yang dikemukakan oleh suruhanjaya dalam laporan itu," katanya apabila ditanya sama ada suruhanjaya itu akan mendedahkan cadangannya kepada umum.

Haidar berkata setiausaha suruhanjaya Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang juga Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, akan menyerahkan laporan itu kepada Perdana Menteri.

Kepada satu soalan bahawa satu daripada cadangan suruhanjaya itu adalah mendakwa beberapa individu di mahkamah, Haidar berkata "itu tidak benar."

Ditanya mengenai kenapakah suruhanjaya itu memohon lanjutan masa sebanyak dua kali bagi menyerahkan laporan kepada Tuanku Mizan, Haidar berkata suruhanjaya itu memerlukan masa tambahan bagi meneliti laporan itu sebelum mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong memandangkan terdapat sejumlah lebih 1,000 keterangan yang perlu diperiksanya.

Sebelum ini, suruhanjaya itu menetapkan 11 Mac untuk menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi kemudiannya memohon dua tempoh sebulan, yang berakhir esok.

Sementara itu, Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata Haidar menyerahkan laporan itu kepada Tuanku Mizan pada pukul 9.30 pagi di hadapan empat lagi anggota suruhanjaya.

Mereka adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan pakar sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya Diraja itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan seorang peguam Datuk V.K Lingam mengatur pelantikan hakim dengan seorang yang dikatakan seorang hakim kanan menerusi telefon.

Seramai 21 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |