+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 28, 2008

Mencari RM3b royalti petrol di BPR

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | May 27, 08 6:50pm

Selepas ke balai polis, misteri "kehilangan" RM3 bilion wang royalti petroleum Terengganu diadukan pula kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki melibatkan penyelewengan dan rasuah.

Dalam laporannya pagi ini, Majlis Permuafakan Rakyat Terengganu (Mampat) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan wang.

Pengerusi gabungan itu Mohd Fauzi Abu Samah minggu lalu membuat aduan yang sama di balai polis daerah Kuala Terengganu.

Dalam aduannya itu, beliau berkata keraguannya timbul selepas membaca kenyataan beberapa pihak di akhbar baru-baru ini, termasuk menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Kedua-dua tokoh ini dilaporkan tidak tahu-menahu "kehilangan" wang sejumlah itu selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amirsham Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat dua minggu lepas bahawa negeri itu menerima RM7.3 bilion daripada Petronas.

Ahmad dilaporkan berkata Terengganu menerima RM4.3 bilion sahaja selama tiga tahun bermula 2004, selepas kerajaan negeri berjaya ditadbir semula oleh BN daripada PAS.

Sementara Idris, yang memimpin negeri itu dalam tempoh tersebut, pula mendakwa beliau tidak mengetahui jumlah sebenar wang kerana ia diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri "hanya dimaklumkan sebanyak RM1.3 bilion diberikan kepada Terengganu pada setiap tahun" dalam tempoh tersebut.

Khamis lalu, menurut Mohd Fauzi, polis menyatakan pihaknya tidak dapat menyiasat kerana dakwaan Mampat tidak disokong sebarang dokumen sokongan, katanya.

“Dia (pegawai penyiasat) yang usulkan saya buat laporan kepada BPR supaya siasatan dapat dibuat,” katanya.

Turut hadir di pejabat BPR di Kuala Terengganu, penolong setiausaha gabungan itu Wan Azmi Wan Ismail.

Beliau juga memaklumkan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bersedia hadir berucap di konvensyen menuntut bayaran royalti anjuran gabungan itu pada 14 Jun ini. Bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas turut menyertai.

Sementara itu, Mampat telah berjaya mengumpulkan 2,200 tandatangan menyokong tuntutan royalti sejak ia dilancarkan Sabtu lepas.

Kempen tandatangan itu akan digerakkan di masjid-masjid seluruh Terengganu mulai Jumaat ini.

Mampat antara kumpulan penting berkempen menyokong pihak istana ketika krisis perebutan jawatan menteri besar Mac lalu.

Sebulan selepas dilantik menteri besar, Ahmad menggesa wang royalti 5 peratus diserahkan kembali kepada Terengganu daripada kerajaan persekutuan.

Wang ini ditadbir kerajaan pusat mulai 2000 dengan nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut "wang ehsan".

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |