+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 14, 2008

Permintaan Khalid, Guan Eng

Utusan Online

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kerajaan negeri Selangor boleh mengasingkan nama pemimpin-pemimpin UMNO di negeri itu daripada menerima air percuma mulai 1 Jun ini jika ia merupakan satu pembaziran dan rasuah kepada rakyat.

Sehubungan itu Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim meminta senarai nama mereka diserahkan kepadanya supaya perkara itu dapat dilakukan.

''Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengatakan pemberian air percuma ini merupakan satu rasuah pakatan pembangkang kepada rakyat Selangor.

''Oleh itu saya mengesa Ahli Parlimen Pontian menulis surat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor mencadangkan bahawa parti itu tidak berminat untuk dapat air percuma dan serahkan senarai nama kepada Menteri Besar Selangor.

''Kerajaan Selangor akan menyediakan program komputer yang akan mengasingkan nama-nama yang tidak mahu air percuma dan lebihan wang itu akan diserahkan kepada sekolah agama rakyat (SAR), Sekolah Rendah Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil,'' kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan terima kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khalid memberitahu, usaha pemberian air percuma itu merupakan usaha pengurusan kontrak sosial dan kebajikan yang dapat dijalankan dengan teratur serta tertib.

Katanya, ia dapat membantu dan memastikan rakyat dan negara terus makmur serta ekonomi negara maju.

''Usaha kerajaan Selangor ini dicemburui oleh BN, untuk pengetahuan, kerajaan negeri menggunakan mekanisme harga untuk mengurangkan pengunaan air berlebihan oleh pengguna.

''Sekiranya pengguna mengunakan air yang lebih banyak maka mereka perlu membayar harga yang tinggi. Oleh itu saya percaya mereka akan menggunakan air sebaik-baiknya,'' katanya.

Sementara itu Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika membahaskan usul yang sama mahukan menteri-menteri Kerajaan Pusat tidak membatalkan projek- projek di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang.

Katanya, tidak ada gunanya berdendam kerana Malaysia adalah milik semua dan tidak ada niat lain hanya untuk membantu serta meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pembangunan ekonomi.

''Kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan tidak ada niat lain selain membantu rakyat melalui pembangunan ekonomi yang seimbang serta adil.

''DAP yakin Kerajaan Pusat juga mahu negara bersih dari anasir-anasir buruk yang boleh menghancurkan negara di samping menyebabkan rakyat menderita,'' katanya.

Tegasnya, Kerajaan Pusat perlu berkerjasama dengan kerajaan negeri dan bukan menyulitkan keadaan dengan membazirkan wang rakyat melalui penubuhan badan-badan yang mewakili BN yang akan bercanggah dengan kepentingan rakyat di negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Katanya, jika dendam menjadi asas pentadbiran Kerajaan Pusat, hanya rakyat akan menentukan kewibawaan serta adakah BN masih relevan.

''Jika kerajaan BN enggan berkerjasama, padahnya diterima oleh rakyat, jika rakyat marah jangan salahkan DAP atau orang lain,'' katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |