+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 28, 2008

RM300 Juta Anjur Piala Monsun Bukan Wang Royalti Minyak - Ahmad Said

Bernama

KUALA TERENGGANU, 27 Mei (Bernama) -- Peruntukan berjumlah RM300 juta yang digunakan untuk menganjurkan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun sejak 2005 bukan daripada wang royalti minyak Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata peruntukan itu daripada kerajaan persekutuan yang disalurkan menerusi Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan serta Kementerian Kewangan manakala kerajaan negeri hanya membelanjakan RM4 juta setiap tahun untuk kejohanan itu.

Katanya kesemua peruntukan itu bukan digunakan untuk menguruskan kejohanan tetapi ia adalah untuk membina pelbagai infrastruktur termasuk kemudahan hotel, tempat melabuh bot serta kawasan meletak kenderaan di Pulau Duyong di sini.

"(Misalnya) Kos pengurusan untuk menganjurkan kejohanan itu tahun lepas hanya melibatkan sebanyak RM22.6 juta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tujuh buah buku terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di sini, Selasa.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa wang royalti minyak Terengganu yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan digunakan untuk menganjurkan Piala Monsun.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah peruntukan untuk pengurusan kejohanan itu sebenarnya kecil berbanding nilai yang diperolehi hasil daripada penganjuran Piala Monsun.

Misalnya pada tahun lepas, beliau berkata penganjuran kejohanan itu yang ditayangkan oleh stesen televisyen sukan antarabangsa, ESPN, berjaya menarik lebih 1.3 bilion penonton.

"Bayangkan kos yang diperlukan sekiranya kita ingin membeli iklan bertaraf antarabangsa yang melibatkan harga yang tinggi," katanya.

Ahmad berkata kejohanan Piala Monsun akan terus dianjurkan sehingga 2012 mengikut perjanjian yang ditandatangani dengan pihak penganjur namun cara pengendaliannya tahun ini berbeza sedikit iaitu lebih banyak aktiviti melibatkan masyarakat tempatan akan diadakan.

Ditanya mengenai perancangan selepas perjanjian dengan penganjur kejohanan itu tamat, beliau berkata kerajaan negeri akan menimbangkan perkara itu apabila tiba masanya.


-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |