+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, June 6, 2008

Bernas turun harga beras, gula melonjak 20 sen sekilo

Berita Harian

Oleh Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Ketika Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengumumkan penurunan harga borong beras wangi dan beras pulut masing-masing 15 peratus dan 12 peratus berkuat kuasa tengah malam ini, harga gula pula dijangka naik 20 sen sekilogram awal tahun depan.

Pengarah Urusan Bernas, Bakry Hamzah, berkata penurunan harga borong itu dijangka mengurangkan harga runcit beras berkenaan sekurang-kurangnya 70 sen, berbanding harga sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menjadi panel Seminar Mengenai Krisis Makanan 'Kemelut Kenaikan Harga Makanan-Apa Kesudahannya' di sini semalam, beliau berkata Bernas kini menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan harga baru beras lain. Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, yang ditemui pemberita pada majlis sama berkata kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan krisis makanan dan ketidaktentuan cuaca global.

"Apa lagi kerajaan akan menandatangani kontrak perjanjian baru pembekalan gula dengan Australia, akhir tahun ini. Mengikut senario harga gula dunia, kerajaan tidak dapat mengelak daripada menaikkan harganya di pasaran tempatan.

"Berdasarkan harga pasaran dunia sekarang, kenaikan harga gula dijangka 20 sen. Bagaimanapun, kerajaan akan sedaya upaya mendapatkan perjanjian dengan harga terendah bagi memastikan kenaikannya pada tahap paling minimum," katanya.

Beliau yang turut menjadi panel pada seminar anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) itu berkata, kerajaan menandatangani perjanjian jangka panjang pembekalan gula dengan Australia dan ia biasanya diperbaharui antara tiga hingga lima tahun.

Ketika ini, harga kawalan gula putih bertapis kasar ditetapkan RM1.45 sekilo di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak RM1.55. Dengan jangkaan kenaikan 20 sen itu, bermakna harga gula di Semenanjung akan meningkat kepada RM1.65 sekilo, manakala Sabah dan Sarawak RM1.75 sekilo.

Sebelum itu, Bakry berkata sejak akhir-akhir ini Bernas membeli bekalan beras wangi dan pulut dengan harga diskaun dari Thailand.

"Ini terjadi berikutan penurunan harga beras di pasaran dunia apabila pengeluar beras yang menyimpan stok terpaksa menjualnya segera akibat penuaian besar-besaran padi di Thailand, Indonesia serta Vietnam," katanya.

Harga borong beras wangi gred AAA yang sebelum ini mencecah RM4,700 satu tan metrik akan diturunkan kepada RM4,000, beras wangi gred AA pula turun kepada RM3,009 berbanding RM4,006, manakala beras pulut turun kepada RM3,300 setan metrik berbanding RM3,350.

"Ini sejajar dengan penurunan harga beras di pasaran dunia dan Bernas menjangka harga beras global akan terus turun, tetapi dijangka tidak akan kurang daripada AS$600 (RM1,954) setan metrik.

"Bernas akan membuat penyelarasan dari semasa ke semasa dan secara amnya harga beras dunia menurun daripada AS$1,200 (RM3,908) setan metrik kepada AS$800 (RM2,606)," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |