+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 3, 2008

Dadah dirampas polis hilang lagi

Berita Harian

Oleh Hussain Said dan Zulhilmi Hat

SEREMBAN: Kes kehilangan dadah yang dirampas polis berulang lagi, kali ini membabitkan kira-kira tiga kilogram (kg) ketamin dari bilik simpanan barang bukti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Kehilangan dadah itu dikatakan disedari seorang pegawai yang menjalankan pemeriksaan di bilik berkenaan, Sabtu lalu.

Dadah yang lesap itu dipercayai sebahagian daripada 30.32 kilogram ketamin bernilai RM1.2 juta yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis perniagaan dan sebuah rumah di Rantau dekat sini pada 26 Mei lalu. Difahamkan, dua laporan polis sudah dibuat mengenai kehilangan barang bukti itu dan kes berkenaan kini dikatakan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Bukit Aman juga dilaporkan sudah menghantar pegawainya ke IPD Seremban untuk menyiasat kes itu.

Tiga tahun lalu, 60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti perbicaraan kes pengedaran dadah membabitkan seorang warga emas, dilaporkan hilang daripada simpanan polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.

Tidak lama selepas itu, 1,168 pil kuda, 7.5 gram heroin dan 400 mililiter ubat batuk merangkumi sembilan kes turut dilaporkan hilang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin yang dihubungi di Kuala Lumpur, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kes terbaru itu.

Beliau berkata, kes itu perlu dirujuk kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.

Osman yang ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam, pula berkata beliau tidak tahu mengenai kehilangan dadah berkenaan.

Rampasan dadah berkenaan yang terbesar di negeri ini tahun ini, dilakukan JSJN IPD Seremban dalam serbuan di sebuah premis perniagaan dan rumah di Rantau, kira-kira jam 3.20 petang, 26 Mei lalu.

Ketamin itu yang diisytiharkan sebagai marmar perhiasan masjid, dipercayai diseludup sindiket pengedaran dadah antarabangsa dari sebuah negara Asia Selatan menerusi perkhidmatan kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |