+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, June 6, 2008

Demonstrasi susulan lebih besar selepas ini

KLpos

Cetak E-mail
Oleh AFP, AP, Reuters
Jumaat, 06 Jun 2008

KL: Kerajaan Malaysia menghadapi cabaran pertama selepas ia menaikkan harga minyak semalam apabila demonstrasi jalanan diadakan di dua bandar negara itu.

Lebih banyak bantahan dijangka diadakan dalam beberapa minggu ini, dengan kemuncaknya bakal diadakan pada 12 Julai.

Semalam, sekumpulan anggota pembangkang mengadakan bantahan di kawasan bandar Kuala Lumpur dan Ipoh.

Bantahan ini menambah lagi tekanan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, agar meletak jawatan.

Ia menyusuli juga prestasi hambar parti campuran Barisan Nasional (BN) pimpinan beliau dalam pilihan raya umum negara itu pada 8 Mac lalu.

Para pegawai polis rusuhan bersenjatakan belantan dan perisai berusaha keras menyuraikan perhimpunan orang ramai yang mengibarkan sepanduk dengan kata-kata seperti 'Harga petrol dinaikkan tapi gaji tidak'.

'Kesannya akan menjadi beban besar kepada rakyat, khususnya yang miskin,' kata Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Demokratik (DAP), Theresa Kok, yang menyertai perhimpunan 100 orang di Kuala Lumpur.

Di Ipoh, para penganjur bantahan berkata lebih 100 orang menghadiri perhimpunan di sana, dan lebih banyak bantahan akan diadakan dalam minggu-minggu mendatang.

Kelmarin, Datuk Abdullah berkata kerajaannya menaikkan harga minyak petrol sebanyak 78 sen kepada RM2.70 seliter. Harga minyak diesel pula dinaikkan RM1, atau 63 peratus, kepada RM2.58 seliter.

Ia bagi mengurangkan beban subsidi minyak kerajaan sekitar RM45 bilion setahun.

Sebelum ini, harga seliter petrol ialah RM1.92 - antara termurah di Asia.

Datuk Abdullah turut memberi isyarat bahawa harga bahan pembakar itu mungkin dinaikkan lagi pada masa depan.

'Orang awam marah kerana kedua-duanya, kenaikan itu dan cara ia dilakukan,' kata ketua DAP, Lim Kit Siang.

Sebuah kumpulan campuran parti pembangkang dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO), Protes, merancang untuk mengadakan bantahan di seluruh Malaysia, dengan kemuncaknya diadakan secara besar-besaran pada 12 Julai ini, kata pemimpinnya, Hatta Ramli.

'Kami mengharapkan 100,000 orang hadir. Kami mahu kerajaan mengubah semula (harga minyak) kepada harga semalam (kelmarin),' kata beliau, yang juga anggota Parti Islam SeMalaysia (PAS) itu.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Syed Albar, mengecam perhimpunan itu sebagai 'haram', sambil menggesa rakyat Malaysia supaya 'jangan bertindak keterlaluan'.

'Ia bukan isu politik tapi isu nasional yang kami semua cuba tangani bersama, berhubung kenaikan harga minyak dan tenaga pada peringkat global,' kata beliau kepada wartawan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |