+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, June 20, 2008

Etika pakaian: ADUN DAP dilarang sertai sidang dewan

Utusan Online

JOHOR BAHRU 19 Jun – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada DAP dilarang menyertai istiadat perasmian persidangan Dewan itu hari ini kerana tidak mematuhi etika pakaian.

Gwee Tong Hiang, wakil Bentayan yang hanya memakai kot, telah diarah meninggalkan Dewan oleh Speaker Datuk Mohd. Ali Hassan kerana dianggap tidak menghormati majlis perasmian yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar.

Tong Hiang yang ditemui pemberita di luar Dewan berkata, beliau tidak memakai pakaian lengkap suit berwarna putih seperti yang dipakai barisan ADUN lain kerana berpegang pada prinsipnya.

“Saya diarahkan keluar Dewan sebelum ketibaan Sultan. Bagi saya pakai uniform atau tidak, yang penting saya berkhidmat kepada rakyat. Saya tidak tahu tidak boleh hanya memakai kot sahaja. Lagipun peraturan pemakaian uniform itu tidak termaktub dalam arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Tong Hiang merupakan antara empat wakil DAP yang memenangi pilihan raya umum Mac lalu, selain Dr. Boo Cheng Hau (Skudai), Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng (Senai). Bagaimanapun, tiga wakil lain masing-masing berpakaian lengkap termasuk bersongkok hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Tong Hiang berkata, beliau menempah pakaian menerusi pemberian elaun uniform oleh kerajaan negeri, namun tidak mengambil pakaian yang ditempah itu.

Ditanya mengenai tindakannya itu yang kemungkinan bertentangan dengan prinsip DAP, katanya, beliau menganggap pakaian bukan merupakan isu besar.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang ditemui selepas istiadat itu berkata, tindakan Tong Hiang adalah perbuatan melampau kerana berpakaian lengkap menjadi amalan DUN Johor sejak 50 tahun lalu bagi menghormati institusi raja.

“Tiga bulan lepas, semasa upacara angkat sumpah Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri, memang kita lihat empat ADUN dari DAP tidak hadir ke Istana Besar dengan alasan tidak mahu bersongkok. Tetapi, kalau tiga ADUN dari Senai, Mengkibol dan Skudai boleh berpakaian lengkap hari ini, kenapa ADUN Bentayan tidak boleh melakukannya,” katanya.

Mohd. Ali pula berkata, beliau mengarahkan Tong Hiang keluar Dewan sebelum ketibaan Sultan kerana ADUN itu tidak mengikut arahan rasmi dan protokol.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |