+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Jimat: Lima negeri ikrar potong elaun exco

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Berita Harian
Rabu, 11 Jun 2008

KL: Lima kerajaan negeri menyatakan kesediaan memotong 10 peratus elaun semua Ahli Exco Negeri sebagai tanda prihatin kepada bebanan rakyat, selaras langkah Kerajaan Pusat untuk menjimatkan perbelanjaan awam berikutan kenaikan harga minyak, baru-baru ini.

Kepemimpinan negeri berkenaan, masing-masing Terengganu, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak memaklumkan perkara itu sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan memotong elaun keraian beliau sendiri, timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta jemaah menteri, berkuat kuasa 1 Julai ini bagi meringankan beban rakyat.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mula memotong elaun Exco negeri itu bulan ini.

“Saya dengan ini mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memotong elaun Exco sebanyak 10 peratus," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Sukan Malaysia XII (Sukma) kelmarin.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mengumumkan pemotongan elaun berkenaan juga berkuat kuasa 1 Julai ini.

Beliau berkata, pemotongan elaun keraian 10 peratus itu membabitkan Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, selaras langkah diambil Kerajaan Pusat.

“Elaun keraian Ketua Menteri sebanyak RM5,500 sebulan akan dikurangkan RM550, manakala Speaker DUN dan Exco Kerajaan Negeri sebanyak RM1,000 pula menjadi RM900, manakala RM250 bagi Adun akan kurang RM25 sebulan,” katanya.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan semua 10 Exco kerajaan negeri sedia memotong elaun keraian sehingga 30 peratus dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat mingguan Exco hari ini.

Adnan berkata, kadar potongan 10 peratus elaun keraian pemimpin Pusat itu wajar kerana mereka tinggal di Kuala Lumpur, manakala potongan hingga 30 peratus pula sesuai untuk pemimpin di negeri.

Di JEMPOL, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri itu sudah memulakan langkah berjimat cermat sejak Mac lalu dengan memberhentikan pembayaran elaun bulanan pentadbiran pejabat RM1,500 kepada setiap Adun negeri itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Peneroka Felda Sungai Lui, dekat sini, Mohamad berkata, pemberhentian elaun itu membolehkan kerajaan negeri berjimat RM54,000 sebulan.

Di KUCHING, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata Sarawak bersetuju memotong gaji 10 peratus secara sukarela membabitkan beliau sendiri, Menteri dan Timbalan Ketua Menteri, dan Menteri Muda negeri.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |