+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Lagi 'bom kejutan': Ke mana sudah imej bidang kehakiman

Mstar Online

11-06-2008 08:13:24 PM
Oleh G. MANIMARAN

KIRA-KIRA tiga minggu lalu, bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang disyor oleh Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam supaya disiasat lanjut bersama lima personaliti yang lain, melahirkan pendiriannya bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk jika dihadapkan di mahkamah.

Malah, menurut Dr. Mahathir beliau juga akan mendedahkan nama hakim-hakim yang pernah melobinya untuk kenaikan pangkat.

Pada 6 Jun pula menerusi dalam blognya, Dr. Mahathir memberikan pandangan beliau tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam isu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas sehingga membawa kepada pemecatannya dua dekad lalu.

Minggu lalu kerajaan mula menyumbangkan bayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang pernah dipecat ketika krisis kehakiman tahun 1988.

Dan, terbaru semalam beberapa blog dan portal berita menyiarkan laporan Borneo Post yang memetik pendedahan Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian H.C. Chin dua hari lalu, yang secara terbuka menyebut bahawa Dr. Mahathir pernah mengugut untuk melucutkan jawatan hakim-hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan lebih satu dekad yang lalu.

Pendedahan

Jika diambil kira pendedahan beliau itu, kemungkinan ini kali pertama seorang hakim berbuat demikian, lebih-lebih lagi ketika sebuah mahkamah tinggi mula bersidang untuk mendengar petisyen pilihan raya.

Negara telah mengadakan pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Petisyen pilihan raya difailkan oleh calon DAP kerusi Parlimen Sarikei, Wong Hua Seh yang mencabar kemenangan wakil Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hiing.

Yang mengejutkan, hakim berkenaan mengetengahkan isu berkenaan ketika memulakan prosiding petisyen berkenaan. Ramai berpendapat suasana sedemikian jarang berlaku.

Semasa mendedahkannya, jelas Chin, pada Persidangan Hakim 24 April 1997, Perdana Menteri (nama tidak disebut tetapi sebenarnya merujuk kepada Dr. Mahathir) ketika itu secara jelas mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Akhbar The Borneo Post juga memetik Chin berkata, ugutan itu dibuat tiga hari selepas hakim berkenaan membuat keputusan berhubung petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan yang memihak kepada calon Bebas, Donald Lawan pada 21 April 1997. Kerusi bahagian tersebut telah dimenangi calon BN, Mong anak Dagang.

Perdana Menteri ketika itu menyuarakan rasa tidak gembira dengan keputusan berkenaan dan beliau merujuk kes itu sebagai the Borneo Case serta bertanya sama ada hakim yang membuat keputusan itu hadir pada persidangan terbabit, tambah beliau dalam pendedahannya.

Jelas Chin, apa yang beliau mendedahkan itu berlaku selepas dua penghakimannya iaitu keputusan kes petisyen pilihan raya kerusi Bukit Begunan dan saman fitnah pada 5 Februari 1997 (Raveychandran lawan Lai Su Chon & Ors).

Dalam penghakiman saman fitnah itu, kata Chin, merujuk kepada kes MGG Pillai lawan Tan Sri Dato Vincent Tan Chee Yioun & Other Appeals dan menjadikannya alasan untuk menolak pemberian pampasan yang luar biasa tinggi dalam kes saman fitnah terhadap keperibadian seseorang.

Video klip

Selain Dr. Mahathir, Vincent Tan juga merupakan antara enam personaliti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam.

Dalam pendedahannya yang kini menarik perhatian banyak pihak, Chin menambah, tiada seorang pun yang menghadiri persidangan itu meragui Dr. Mahathir merujuk kepada kes petisyen pilihan raya umum berkenaan walaupun tidak menyatakannya secara khusus.

Selepas membuat ugutan itu, bekas Perdana Menteri turut memberi pendapat bahawa seseorang wajib dikenakan bayaran ganti rugi yang tinggi dalam kes saman fitnah.

Chin berkata, persidangan itu disusuli sesi dialog tetapi pada hakikatnya hanya satu pihak iaitu Dr. Mahahtir bercakap manakala yang lain mendengar.

"Hanya seorang Hakim Mahkamah Rayuan memberi maklum balas dengan bertanya sama ada beliau (Dr. Mahathir) akan gembira sekiranya sejumlah RM1 juta ditetapkan sebagai ganti rugi dalam kes saman fitnah.

"Beliau bersetuju dengan cadangan itu dan menunjukkan rasa puas hati beliau dengan memberi kenaikan pangkat kepada hakim berkenaan (tetapi kini sudah pun meninggal dunia) ke Mahkamah Persekutuan apabila wujud kekosongan walaupun terdapat ramai lagi hakim yang lebih kanan," katanya.

Chin memberitahu, beliau amat kecewa dengan perkembangan itu tetapi beberapa Hakim Mahkamah Persekutuan menemuinya selepas sesi dialog itu dan memberi nasihat jangan mempedulikannya.

"Malah, yang lebih melegakan saya apabila seorang Hakim Mahkamah Tinggi menyifatkan perbuatan bekas Perdana Menteri itu sebagai keterlaluan," katanya.

Berdasarkan ingatan beliau, tambah Chin, sejurus selepas bekas Perdana Menteri itu mengambil alih pentadbiran negara, beliau giat berkempen membanteras rasuah dan mahu setiap orang takut kepada Tuhan.

"Tetapi berdasarkan apa yang berlaku pada persidangan itu, ternyata beliau mahu orang takut untuk membuat penghakiman yang tidak disukainya," kata Chin.

Tambah Chin, selepas persidangan itu, beliau menyertai satu bengkel antara 26 hingga 30 Mei 1997 bersama beberapa hakim dan pegawai kehakiman yang didakwanya berlaku usaha mempengaruhi mereka supaya berpegang kepada pandangan bahawa kepentingan kerajaan harus diberi keutamaan mutlak apabila membuat penghakiman.

"Saranan yang keji itu dilakukan Presiden Mahkamah Rayuan sendiri dan tiada siapa pun bersuara ketika sesi soal jawab. Pencabulan keadilan tidak berakhir di situ. Pada satu pagi, saudara hakim (rakan Chin), Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang mencari saya selepas daftar masuk kerja. Kami berdua berkhidmat khidmat di Kuching.

"Beliau menyuarakan kekecewaan berikutan panggilan telefon daripada Ketua Hakim Negara ketika itu, meminta beliau menolak petisyen pilihan raya yang akan didengar di Kota Kinabalu.

"Kamil meminta pendapat saya. Kami menimbang kemungkinan membuat laporan polis atau menulis kepada Ketua Hakim Negara bagi merekodkan apa yang dicakapkan menerusi telefon tetapi beliau memutuskan tidak melakukan apa-apa kerana tiada bukti melainkan dakwaannya terhadap Ketua Hakim Negara," katanya.

Chin berkata, beliau bagaimanapun gembira kerana Muhammad Kamil tidak tunduk kepada tekanan Ketua Hakim Negara ketika mendengar petisyen pilihan raya itu dan seterusnya membuat penghakiman berdasarkan undang-undang serta bukti yang dikemukakan.

Selepas membuat pendedahan itu, Chin meminta kedua-dua pihak terbabit dalam petisyen pilihan raya umum kerusi Parlimen Sarikei, yang didengarinya itu, membuat keputusan sama ada patut beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

"Walaupun beliau (Dr Mahathir) kini bukan lagi Perdana Menteri dan tidak boleh mengugut untuk melucutkan jawatan mana-mana hakim dan tidak sepatutnya digeruni hakim, gabungan parti yang pernah diterajuinya masih berkuasa dan responden kedua dalam kes ini menang atas tiket gabungan itu.

"Jadi mungkin ada yang berpendapat saya masih menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak," katanya.

Implikasi

Kenyataan terakhir ini dan keseluruhan pendedahann Chin membawa implikasi besar kepada negara dan kerajaan khususnya ketika demam pascapilihan raya umum masih berlarutan.

Selepas insiden-insiden yang disenaraikan Chin, negara telah mengadakan tiga pilihan raya umum. Justeru, persoalan yang timbul dan ditanya banyak pihak ialah mengapa sekarang beliau bertindak mendedahkannya?

Apakah yang menggerakkan Chin berbuat demikian?

Selepas pilihan raya umum ke-12, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua bulan lalu telah membawa proses pembaharuan sistem kehakiman dan memulihkan keyakinan orang ramai.

Pengumuman strategi itu disusuli dengan pengumuman laporan Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam.

Dengan perkembangan mengejutkan ini, Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan menggesa Suruhanjaya Diraja diadakan bagi menyiasat pendedahan tersebut.

"Dakwaan dan pendedahan yang dibuat beliau (Chin) bukan sahaja disiasat secara menyeluruh oleh Ketua Hakim Negara tetapi juga oleh pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Sejauh mana perkembangan terbaru ini akan membantu dalam soal siasat lanjut dikendalikan Jabatan Peguam Negara ekoran saranan Suruhanjaya Diraja Siasat Video Klip Lingam?

Apakah pendedahan Chin akan membantu memulihkan keyakinan orang ramai atau memudaratkan lagi situasi semasa? Ataupun polemik mengenai bidang kehakiman akan berterusan hingga kita boleh menunggu pendedahan-pendedahan yang lain?

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |