+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 24, 2008

Pasca-PRU Ke-12: Singapura 'kaji' impak internet pengaruhi pengundi Malaysia

Mstar Online

24-06-2008 08:13:00 AM
Oleh G.MANIMARAN

PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, yang luas dikaitkan dengan pengaruh media alternatif khususnya internet, bukan sahaja telah muncul sebagai topik hangat di peringkat domestik, malah impaknya 'mencuri' perhatian kerajaan negara jiran Singapura.

Ketika berkongsi pengalaman mengenai pendirian kerajaan Singapura yang telah mengambil berat tentang aspek berkenaan, Fellow Penyelidikan Kanan Institut Kajian Dasar (IPS), Tan Tarn How (gambar) berkata, republik tersebut telah menunjukkan kesungguhan untuk melihat sejauh mana media baru telah mempengaruhi arah aliran pengundian dan sokongan pengundi di Malaysia 8 Mac lalu.

"Mereka ingin mengetahui impak internet ke atas masyarakat, yang pada umumnya mirip keadaan di Singapura. Malaysia mempunyai landskap masyarakat yang sama (pelbagai kaum dan menerokai ICI sejak satu dekad lalu).

"Mereka telah menunjukkan minat untuk mengetahui dengan mendalam apa yang sebenarnya telah berlaku dan mengapa ia berlaku.

"Malah, mereka juga tertanya-tanya sama ada internet juga boleh membawa kesan yang serupa di Singapura," kata beliau ketika ditemui pada forum Star Multimedia-ACMS bertajuk Media Baru: Trend dan Peluang di sini, semalam.

IPS merupakan badan kumpulan pemikir yang berpejabat di Singapura, ditubuhkan pada 1988.

Tan juga telah menjalankan kajian mengenai kesan media baru ke atas pengundi-pengundi negara ini dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Internet menembusi kempen pilihan raya negara ini pada 1999, tiga tahun selepas kerajaan memperkenalkan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan projek Koridor Raya Multimedia (MSC).

Impak media baru juga bertapak semasa pilihan raya umum lima tahun kemudian dan kesannya dikatakan lebih besar ketika pilihan raya umum ke-12 khususnya dengan kemunculan blog.

Kesan media baru ke atas pemikiran pengundi negara ini dan dalam arah aliran pengundian juga diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengatakan bahawa kerajaan tidak memberi perhatian mendalam ke atas komponen baru ini.

Dalam temu bual dengan mStar Online minggu lalu sempena 100 hari pascapilihan raya umum ke-12, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin turut menyentuh tentang kemunculan komuniti elektronik - sektor baru dalam politik negara ini tetapi tidak dipandang serius oleh parti kerajaan.

Menurut Tan, ia merupakan perkembangan ketika peringkat awal pascapilihan raya umum ke-12 tetapi apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan Singapura selepas itu belum diketahui.

"Pada awalnya mereka ingin mengetahui (apa yang berlaku dan sebabnya) dan saya tidak tahu rumusan yang dibuat oleh kerajaan selepas itu," katanya lagi.

Republik Singapura telah memanggil pilihan raya umum dua tahun lalu dan lazimnya mengadakan pilihan raya umum setiap lima tahun.

Mengenai impak internet ke atas rakyat negara itu dalam pilihan raya, beliau berkata: "Pandangan peribadi saya ialah 'tidak."

Jelas Tan, walaupun republik itu mempunyai kadar penembusan internet yang agak tinggi tetapi rakyatnya masih mempercayai maklumat disiarkan media massa tradisional di sebalik kawalan yang cukup ketat.

Kata beliau, maklumat berwibawa dan boleh dipercayai, yang disajikan oleh media tradisional penting dalam mengimbangi pengaruh media baru.

Malah, kata beliau Singapura mempunyai undang-undang siber yang cukup ketat, yang telah digubal sejak satu dekad lalu.

Turut menjadi ahli panel forum ialah Dr. Cherian George, pemangku ketua Divisyen Kewartawanan di Wee Kim Wee School of Communication and Information, Nanyang Technological University, Singapore dan Oon Yeoh, kolumnis tempatan yang menulis tentang media baru.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |