+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 1, 2008

Pertahan PM: Zaid hairan dikenakan tindakan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 31 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim hairan mengapa UMNO mahu mengenakan tindakan terhadapnya hanya kerana beliau bertindak mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada dikritik.

Katanya, sejak empat tahun lalu, Perdana Menteri telah dikritik, dihentam dan dihina secara peribadi, tetapi hari ini menjadi satu kesalahan jika ada pihak yang ingin membelanya.

Menurut Zaid, Abdullah telah berusaha membina dasar-dasar kerajaan yang murni, oleh itu tidak salah jika membelanya daripada dikritik.

"Sesiapa yang membela Perdana Menteri dan dasar-dasar kerajaan ke arah melakukan perubahan untuk kebaikan rakyat dan negara tidak perlu takut.

"Kerajaan perlu tegas dan tetap akan melaksanakan perubahan kerana kita akur kepada kehendak rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Kelantan 2008 dan Semarak Seni di Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, bahawa Zaid akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana didakwa menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti, yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

Turut akan dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Zaid menegaskan, mereka yang menentang dan tidak boleh menerima perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri ialah golongan yang mengikut peraturan, pemikiran dan budaya politik lama.

Ditanya siapa yang menentang dasar Abdullah itu, Zaid berkata: "Kita fikir sendirilah, tak kan susah sangat, bukannya sains roket."

Dalam pada itu, beliau menyeru agar rakyat di seluruh negara bekerjasama untuk menyokong dan membina perubahan yang dilaksanakan oleh Abdullah.

"Pendapat peribadi saya terhadap Perdana Menteri ialah beliau hendak melakukan perubahan bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem perundangan dan kehakiman di negara kita.

"Jadi, kita perlu menyokong dan memahaminya sebelum mengkritik kerana tiada sesiapa yang boleh menghalang perubahan itu daripada berlaku,'' tegasnya.

Mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya itu, beliau hanya berkata: "Saya tidak ada komen dan tidak faham mengenainya.''

"Saya hanya memperkatakan soal peraturan dalam Dewan Rakyat kerana di negara-negara lain pun ada peraturan yang sama.

"Barisan Nasional (BN) ada Ketua Whip dan Ketua Pembangkang pun ada Ketua Whip mereka. Tindakan yang saya maksudkan yang perlu diambil ialah berasaskan laporan parti di Parlimen."

Menurut Zaid, Ahli Parlimen perlu mengikut peraturan ketika berada dalam Parlimen, mematuhi dasar parti dan akur kepada ketua jika menganggotai parti komponen kerajaan dan wakil pembangkang pula perlu akur kepada ketua mereka.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |