+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, June 20, 2008

SAPP lulus bawa usul tidak yakin pimpinan Pak Lah

Mstar Online

20-06-2008 08:45:47 PM
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

YONG Teck Lee (kiri) mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Raymond Tan sambil diperhatikan oleh Dr. Chua Soon Bui pada sidang akhbar selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi SAPP di Kota Kinabalu hari ini. - fotoTHESTAR

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Parti Maju Sabah (SAPP) selesai mengadakan mesyuarat tergempar lebih lima jam petang tadi menerima pendirian Presidennya, Datuk Yong Teck Lee tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dan mahu membawa usul undi tidak percaya di Parlimen, Isnin ini.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi SAPP tidak membuat apa-apa keputusan mengenai keanggotaan parti itu dalam Barisan Nasional (BN).

Pun begitu, sejauh mana SAPP akan membawa usul berkenaan di Dewan Rakyat menjadi tanda tanya memandangkan menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, sehingga petang ini tiada usul dikemukakan kepada Parlimen.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dijangka mengulas perkembangan terbaru dalam waktu terdekat.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyifatkan tindakan SAPP hari ini menunjukkan ia tidak menghormati semangat BN meskipun Majlis Tertinggi BN telah "memberikan peluang semalam."

Ketika ditanya sama ada SAPP perlu dipecat keanggotaannya, beliau berkata, "kita serahkan kepada BN yang akan bermesyuarat untuk memutuskannya."

"Setelah menimbang semua pendapat, Majlis Tertinggi membuat keputusan menyetujui usul itu dibawa," kata Yong kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar di Kota Kinabalu hari ini.

Bagaimanapun, menurut Yong, mesyuarat hari ini tidak membuat keputusan sama ada SAPP akan keluar daripada Barisan Nasional.

Mesyuarat itu diadakan sehari selepas BNmengadakan mesyuarat tergempar di sini semalam.

Majlis Tertinggi SAPP juga menggariskan lapan "perisytiharan penduduk Sabah" bagi membawa perubahan dalam negara ke arah mewujudkan satu kerajaan beramanah dan satu masyarakat yang adil, harmoni dan progresif.

Lapan perisytiharan itu ialah :

* Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.
* Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.
* Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.
* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.
* Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.
* Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.


Kelmarin Yong menggemparkan negara apabila, buat kali pertama dalam sejarah BN, mengisytiharkan tidak yakin dengan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN.

SAPP yang ditubuhkan oleh bekas penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai BN pada 1994.

Sebelum permulaan mesyuarat pagi tadi, Yong dan salah seorang daripada tiga timbalannya, Datuk Raymond Tan mengadakan pertemuan empat mata hampir sejam sementara anggota majlis pula menanti di bilik mesyuarat.

Mesyuarat itu dipengerusikan Yong sendiri.

Seramai 33daripada 35 anggota Majlis Tertinggi SAPP menghadiri mesyuarat itu.

Semalam, Majlis Tertinggi BN yang mengadakan mesyuarat tergempar mengutuk kenyataan SAPP ekoran pendiriannya Yong bahawa pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Parti-parti komponen BN berpendirian pandangan Yong sebagai "sebagai tidak berprinsip, tidak beretika dan bertentangan dengan semangat pakatan BN" manakala Majlis Tertinggi BN sendiri tidak mengambil sebarang tindakan termasuk penyingkiran SAPP.

Sebaliknya BN mahu mendengar penjelasan rasmi dan melihat pendirian dua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat minggu depan dan SAPP.

Tindakan ke atas SAPP hanya akan diputuskan selepas mendapat penjelasan daripada Majlis Tertinggi parti itu secara rasmi mengenai kenyataan Yong, kata kenyataan itu.

SAPP mempunyai tiga timbalan presiden. Selain Tan dua yang lain ialah Datuk Liew Teck Chan dan Datuk Eric Majimbun iaitu Ahli Parlimen Sepanggar, yang menurut Yong akan menyokong usul undi tidak percaya ke atas Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan.

Tan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting dan Timbalan Ketua Menteri Sabah mendakwa beliau dan yang lain tidak dirunding terlebih dahulu berhubung isu berkenaan manakala Majlis Tertinggi SAPP tidak dimaklumkan sewajarnya.

"Ia salah sama sekali," kata Tan semalam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |