+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 18, 2008

SAPP tolak dakwaan keluar BN

Utusan Online

KOTA KINABALU 16 Jun - Parti Maju Rakyat Sabah (SAPP) menegaskan tidak akan keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa banyak pihak, akhir-akhir ini.

Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata, apa yang diperkatakan itu sekadar spekulasi dan tidak mempunyai kaitan dengan parti tersebut.

''Saya boleh beri jaminan tidak berlaku SAPP keluar BN, saya tidak tahu mengapa boleh timbul spekulasi seperti ini, tetapi ini bukan perkara yang kecil, pada masa sekarang parti kami langsung tidak ada keputusan untuk keluar dari BN.

''Parti kami ditubuhkan pada tahun 1994 pun mula dengan BN di Sabah dan bagi saya tidak ada alasan untuk keluar dari BN," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Pegawai Eksekutif 2008 di sini hari ini.

Beliau mengulas pelbagai khabar angin yang mendakwa SAPP antara parti komponen yang disebut-sebut akan keluar daripada BN hujung bulan ini.

Khabar angin itu bertiup kencang selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa parti komponen tersebut bukan berpusat di Semenanjung.

Tan Shu Kiah yang juga Timbalan Ketua Menteri tidak menolak kemungkinan spekulasi itu ditujukan kepada SAPP kerana kelantangan parti tersebut yang menyuarakan pelbagai isu berkaitan keperluan rakyat Sabah.

''Spekulasi ini mungkin disebabkan suara kami yang lantang, tetapi pada masa yang sama banyak parti komponen BN selepas pilihan raya suarakan banyak perkara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Kerajaan Persekutuan.

''SAPP sangat lantang, tetapi semua itu atas sebab yang munasabah, kita perjuangkan banyak isu rakyat Sabah dan kita akan teruskan. Bersuara lantang tidak semestinya akan menukar kami kepada pembangkang dan meninggalkan BN," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman ketika ditemui turut menafikan ada parti komponen di Sabah yang akan keluar daripada BN.

Menurut beliau, tidak ada sebab parti komponen mahu keluar daripada BN dalam keadaan hubungan yang sedia terjalin erat pada masa ini.

''Saya telah jumpa beliau (Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee) sebelum ini, tetapi isu meninggalkan BN tidak pernah timbul. Ini hanya spekulasi. Kita ada hubungan yang baik dan tidak ada alasan untuk mereka keluar daripada BN," katanya.

SAPP sebagai salah sebuah parti komponen di Sabah mempunyai dua daripada 25 Ahli Parlimen dan empat daripada 60 Ahli Dewan Undangan Negeri.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |