+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 2, 2008

Sidang pertama Dewan Rakyat belum jadi gelanggang sebenar

Harakahdaily

Saidah Hairan
Mon | Jun 02, 08 | 3:47:51 pm MYT

Persidangan Dewan Rakyat bagi penggal pertama, Parlimen ke-12 baru saja melabuhkan tirainya dan ditangguhkan hingga 16 Jun depan.

Persidangan selama 18 hari itu mencatat sejarah apabila ramai muka-muka baru di kalangan ahli parlimen Pakatan Rakyat (PAS, DAP, KeADILan) begitu juga dengan Umno-BN.

Penampilan muka-muka baru menyebabkan rakyat ternanti-nanti kemunculan mereka di Parlimen. Tugas yang diamanahkan rakyat amat besar untuk dipikul semua ahli parlimen sama ada daripada BN atau Pakatan Rakyat.

Jumlah ahli parlimen Pakatan Rakyat seramai 82 orang sudah cukup untuk menggegarkan suasana dewan yang sunyi penggal lalu kerana ketika itu BN memperolehi kemenangan besar dalam 'pesta' pilihan raya umum ke-11.

Bagaimanapun, persidangan selama 18 hari itu belum cukup untuk mengadili kemampuan dan kewibaan ahli parlimen ketika membawa masalah rakyat untuk diperdebatkan.

Hari pertama persidangan suasana menjadi kecoh apabila Point of Order dibincangkan sehingga tamat waktu sesi soal jawab lisan.

Persidangan yang diadakan secara langsung melalui RTM1 itu menimbulkan kemarahan dan kecewa di kalangan ahli parlimen BN, menteri kabinet khususnya Menteri Penerangan, Datuk Shabery Chik.

Point of Order itu berpunca daripada ahli parlimen Bukit Gelugur, Karpal Singh yang tidak puashati dengan tindakan ahli parlimen BN yang tidak angkat tangan ketika mengangkat sumpah di Parlimen.

Perkara itu berlarutan. Tempoh sesi soal jawab lisan yang diperuntukkan masa selama satu jam setengah, hanya sempat dijawab dua soalan oleh Perdana Menteri.

Point of Order diajukan semula apabila speaker tidak membenarkan soalan tambahan daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat kepada Perdana Menteri. Perkara itu tidak pernah berlaku dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

Tindakan speaker itu menyebabkan dewan kembali kecoh sehingga Perdana Menteri meminta jasa baik speaker untuk memberi laluan kepada dua soalan tambahan.

Bagaimanapun, speaker hanya membenarkan satu soalan tambahan saja oleh ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tindakan ahli Parlimen Padang Serai (KeADILan), N Gobalakrishnan yang membisikkan sesuatu kepada speaker juga tidak pernah berlaku sebelum ini.

Perbuatan itu amat bercanggah dengan peraturan mesyuarat walau pun Gobalakrishnan bertujuan membantah ahli parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron yang mengeluarkan perkataan dalam bahasa India membawa maksud tidak baik.

Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertindak profesional melalui Ketua Whip, Azmin Ali (KeADILan - Gombak) mengarahkan Gobalakrishnan meminta maaf di atas perbuatannya.

Sidang Dewan Rakyat bukan saja tempat untuk ahli parlimen mengajukan soalan kepada menteri kabinet tetapi ia juga memperlihatkan kecekapan, kebijaksanaan, kepekaan wakil rakyat terhadap sesuatu isu.

Ketika kekecohan berlaku di sidang dewan pada hari pertama, beberapa wartawan berbisik kepada saya. "Ahli Parlimen Kubang Kerian (Salahuddin Ayub) bagus la. Saya suka dia. Dia very soft men."

Beliau merupakan antara ahli Parlimen yang tabah diuji dan sanggup menempuh segala kritikan dan cabaran khususnya ketika persidangan dewan tahun 2004-2007.

Ketika itu PAS hanya berjaya memiliki enam kerusi, satu kerusi KeADILan dan 13 DAP. Beliau terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua Whip daripada ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kepakaran dan kepetahan ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar ketika berhujah dan mengajukan soalan kepada menteri kabinet dan wakil rakyat BN tidak dinafikan.

Apa saja isu beliau tidak kekok untuk berhujah dan mengajukan soalan. Ini diakui oleh beberapa wartawan, pegawai kerajaan dan pemerhati sidang Dewan Rakyat sejak tahun 1999.

Kemunculan beliau untuk beraksi semula di Dewan Rakyat setelah sepenggal berehat kerana tewas di tangan Umno dalam PRU ke-11 mengembalikan semula suasana �panas� sidang dewan.

Ditambah dengan kehadiran Abdul Hadi (berada di Dewan Rakyat sejak tahun 1994-1999) dan pengalaman lama di DUN Terengganu.

Begitu juga kehadiran ahli Parlimen (Bachok) Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Tumpat, Kamaruddin yang mempunyai pengalaman sejak tahun 1999.

Manakala Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) bukan saja berpengalaman dalam Dewan Rakyat sejak tahun 2004 bahkan sebelum itu di persidangan DUN Kelantan.

Bekas Speaker DUN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu) dan mantan Senator, Siti Zailah Mohd Yusof turut mempunyai keistemewaan tersendiri. Mereka sudah tentunya arif dan memahami peraturan mesyuarat.

Inilah uniknya ahli parlimen PAS walaupun di kalangan Pakatan Rakyat, calon PAS merupakan parti yang paling sedikit memperolehi kemenangan.

Bagaimanapun, tempoh persidangan selama 18 hari itu menunjukkan mereka mempunyai kualiti ketika berbahas dan sesi soal jawab tambahan yang diajukan dengan penuh kebijaksanaan.

Mungkin disebabkan kemunculan ahli parlimen PAS yang sebahagian besar berpengalaman di DUN dan Parlimen, menyebabkan wakil rakyat Rembau, Khairy Jamaluddin enggan memberi ruang kepada pembangkang mengajukan soalan ketika sesi perbahasan.

Wakil rakyat Gombak, Azmin Ali merupakan antara wakil rakyat yang aktif dalam tempoh sidang penggal pertama. Ketua Whip daripada KeADILan itu merupakan bekas orang `kuat' Umno dan mengeluarkan diri daripada kepompong kerakusan dan kezaliman di era reformasi.

Beliau turut mempunyai pengalaman di DUN Selangor tahun 1999.

Peminat politik tanah air sudah pastinya ternanti-nanti kemunculan ahli Parlimen Lembah Pantai (KeADILAN), Nurul Izzah untuk bersuara dalam sidang sesi kedua nanti.

Beliau merupakan generasi muda yang menjadi pilihan rakyat masih belum dapat membuktikan kepekaan dan kesungguhannya membawa masalah rakyat ke sidang dewan.

Khairy juga masih belum nampak `taringnya', setakat berbahas dengan membaca teks tanpa membenarkan laluan untuk soalan tambahan, pemandu lori pun boleh melakukannya kalau sekadar itulah lagaknya, kata seorang pemerhati.

Ahli parlimen perlu sedar sidang Dewan Rakyat bukan tempat untuk mengampu pak-pak menteri dan memaki hamun.

Sebaliknya sidang dewan wajar dijadikan wadah bermuhasabah membetulkan kesilapan serta kelemahan bukan saja terhadap pimpinan BN tetapi semua ahli yang sudah berikrar menjadi wakil rakyat.

Realiti, rakyat masih belum boleh membuat keputusan di atas kesungguhan, kehebatan dan kepekaan wakil rakyat masing-masing.

Tempoh sidang selama 18 hari mungkin tidak boleh dijadikan `kayu pengukur` sebenar terhadap kreadibiliti wakil rakyat sama ada yang baru atau lama.

Apa yang lebih penting, wakil rakyat tidak wajar membataskan diri mereka dalam pergaulan. Tanpa rakyat, tanpa orang kampung siapalah anda.

Justeru, panggilan YB (Yang Berhormat) adalah anugerah daripada rakyat. - mj

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |