+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 1, 2008

SPR: Batal guna dakwat elak krisis Perlembagaan

Mstar Online

01-06-2008 02:08:23 PM
Oleh G. MANIMARAN

PUTRAJAYA: "Buat pun salah, tak buat pun salah." Ini sebahagian reaksi Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa akur dengan keputusan Kabinet dalam isu pembatalan penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan krisis Perlembagaan dan kemungkinan dakwaan ke atas panel suruhanjaya di Parlimen.

Sambil mengaku tiada pilihan dan tersepit dalam suasana amat sukar, Pengerusi SPR itu memberitahu, pihaknya terpaksa membatalkan penggunaan dakwat apabila Kabinet menolak syor undang-undang yang dikemukakan bagi menjadikan ia sebagai peruntukan undang-undang ketika hari pengundian.

"Alasan paling utama berkaitan dengan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan hak seseorang untuk mengundi dalam pilihan raya.

"Jika SPR mengetepikan keputusan Kabinet, sebaliknya memutuskan untuk meneruskan rancangan untuk menggunakan dakwat kekal, jadi bermakna SPR mengambil risiko boleh didakwa (di Parlimen) melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya dan sudah tentu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," kata beliau dalam satu pertemuan dengan mStar Online baru-baru ini.

"Bermakna panel suruhanjaya terdedah kepada (kemungkinan) dakwaan di Parlimen," kata beliau sambil menambah, dengan membatalkan rancangan penggunaan dakwat pihaknya telah mengelakkan banyak masalah yang serius.

Selain itu, jika ada pihak yang berpuas hati dengan langkah SPR menggunakan dakwat kekal, keputusan pilihan raya umum 8 Mac boleh dicabar di mahkamah untuk diisytiharkan tidak sah.

"Itu sebabnya kami mengambil masa yang begitu lama untuk memikir dan mempertimbangkan banyak perkara. Ia dilakukan dengan niat yang baik dan secara profesional," katanya.

Oleh itu, beliau berharap tiada mana-mana pihak menuduh beliau dan panel SPR bermain politik dalam isu berkenaan.

"Ia telah dijalankan secara profesional. Malah, jangan menuduh kami mempunyai agenda dalam hal ini.

"Kami berhadapan situasi yang sukar dalam membuat keputusan, buat pun salah, tak buat pun salah," kata beliau ketika mengulas aduan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Isu berkenaan juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat bulan lalu.

Pada 17 Mei lalu, Abdul Rashid buat kali pertama sejak pilihan raya umum 8 Mac, mendedahkan tindakan pihaknya membatalkan penggunaan dakwat kekal pengundi bertolak daripada keputusan Kabinet yang menolak rancangan itu daripada diteruskan.

Kata beliau, Kabinet menolak langkah SPR menggunakan dakwat khas, yang menelan kos hampir RM3 juta, atas dua alasan iaitu perundangan dan keselamatan pada hari Parlimen dibubarkan.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu, pihaknya tidak pernah memberi arahan, sebaliknya hanya mengemukakan cadangan dalam isu berkenaan

Awal tahun ini juga, Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Marfel) telah mengesyorkan agar penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-12 diwartakan terlebih dahulu bagi memastikan penggunaannya tidak dicabar pengundi.

Menurut badan itu, penggunaannya boleh dipertikaikan kerana belum ada pindaan dibuat terhadap Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981.

Kata Marfel, Perkara 19 (3) Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981 perlu dipinda bagi membolehkan penggunaan dakwat itu dilaksanakan tanpa masalah pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai kandungan undang-undang yang disyorkan itu, kata Abdul Rashid, ia merupakan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan dakwat khas ketika pilihan raya.

"Tanpa peraturan itu, anda tidak boleh melaksanakan ketika hari pengundian. Kami difahamkan Kabinet telah mengetepikan undang-undang yang disyorkan ini," katanya.

Jelas beliau, nasihat daripada Peguam Negara ialah undang-undang kelihatan ultra vires Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi, semangat (kehendak) undang-undang ialah anda tidak boleh memaksa mana-mana pemilih (yang layak) untuk melakukan apa-apa, yang boleh ditafsirkan sebagai satu usaha mengelak atau menghalang dia daripada mengundi kecuali undang-undang berkenaan ataupun proses didukung oleh satu undang-undang yang sesuai yang tidak bertentangan dengan Perkara Perlembagaan Persekutuan.

"Diperhujahkan bahawa jika seorang enggan jari mereka dikenakan dakwat, dia tidak boleh dinafikan haknya untuk diberikan kertas undi.

"Jadi, aspek perundangan seperti ini tidak harus dipolitikkan," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |