+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 3, 2008

Stesen minyak di sempadan lengang


Berita Harian


TIADA KENDERAAN ASING: Anggota Rela membuat rondaan di stesen minyak di Rantau Panjang, semalam.

PENGKALAN HULU: Semua stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan di sini didapati lengang sepanjang hari semalam, walaupun kerajaan sudah menunda tarikh penguatkuasaan larangan menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan asing yang sepatutnya bermula semalam.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, ia hasil tinjauan dilakukan pihaknya dalam operasi bersepadu di semua stesen minyak bermula dari pintu masuk di sempadan Malaysia�Thailand sehingga kira-kira 15 kilometer (km) dari pekan ini.

Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). "Kami juga menempatkan pegawai penguatkuasa di setiap stesen minyak di sini sepanjang operasi bersepadu ini dijalankan sehingga arahan terbaru mengenainya dikeluarkan.

"Kelihatan keadaan di stesen minyak di sini lengang kerana kenderaan asing sudah tidak membeli petrol dan diesel di stesen minyak di negara ini lagi," katanya kepada Berita Harian selepas melakukan tinjauan terhadap operasi bersepadu itu di sini semalam.

Minggu lalu, kerajaan memutuskan supaya semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 km dari sempadan negara tidak lagi dibenarkan menjual petrol atau diesel kepada kenderaan yang didaftarkan di luar negara, mulai Jumaat lalu tetapi ditunda kepada semalam.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai berkata keputusan mengenai tarikh sebenar penguatkuasaan larangan itu akan ditentukan pada mesyuarat jawatankuasa mengenai inflasi hari ini ekoran timbul kerumitan melaksanakan peraturan itu kerana masih ada beberapa kaedah pelaksanaan yang belum diputuskan.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan jarak 30 hingga 50 km dari sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Arahan bertulis mengenai larangan itu, yang dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |