+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 1, 2008

Dedah komisen Pos Malaysia - Wan Azizah

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kerajaan diminta mendedahkan kepada umum jumlah komisen yang dibayar kepada Pos Malaysia Berhad (PMB) yang menguruskan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan.

Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu bagi menghentikan tanda tanya di kalangan rakyat yang ingin tahu kenapa tugas berkenaan diberikan kepada PMB sedangkan ia boleh dilaksanakan oleh jabatan kerajaan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan.

''Adakah Pos Malaysia mendapat untung daripada setiap pengendalian pemberian rebat ini," soalnya ketika membahas usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kerajaan mendedahkan secara terperinci sumber kewangan yang akan digunakan bagi membangunkan semua koridor pembangunan ekonomi yang secara keseluruhan melibatkan pelaburan RM1.1 trilion.

''Betulkah kerajaan mempunyai sumber wang sebanyak ini, kalau betul tidak perlu naik harga minyak.

''Perincikan daripada manakah duit datang, adakah secara pinjaman atau pelaburan langsung asing, hanya Perdana Menteri dan Tuhan sahaja yang mengetahui," katanya.

Sementara itu, Wan Azizah juga mahukan kerajaan memberikan penjelasan kenapa sehingga sekarang kebanyakan aplikasi perdana Korididor Raya Multimedia (MSC) masih gagal dilaksanakan.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan aplikasi itu termasuk langkah mewujudkan kerajaan elektronik telah menyebabkan Malaysia kini tidak lagi dianggap sebagai negara yang terkehadapan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.

''Kegagalan untuk memperkenalkan penggunaan sepenuhnya teknologi Internet dalam pentadbiran kerajaan telah menyebabkan kos menjalankan peniagaan di negara ini meningkat berikutan kerenah birokasi.

''Maklumat yang kita terima menunjukkan kos ini adalah lebih tinggi berbanding negara-negara yang mempunyai pendapatan perkapita hampir sama seperti Malaysia," jelasnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |