+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, July 20, 2008

Isu liwat: Musa, Gani tak campur - Pak Lah

Berita Harian

Oleh Fazli Abdullah, Norakmah Mat Youb dan Noor Hastikah Hassan
bhnews@bharian.com.my


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

KPN, Peguam Negara tidak terbabit siasatan Anwar

KEPALA BATAS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak akan terbabit dalam siasatan kes dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata pegawai yang mengendalikan kes itu juga tidak akan membuat rujukan berkaitan kes berkenaan kepada mereka.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tidak akan terbabit langsung. Mereka tidak akan mengambil peranan dalam apa juga perkara berkaitan dengan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan biasiswa/pinjaman Mara kepada 350 pelajar Island College of Technology (ICT) di Dewan Milenium di sini, semalam.

Hadir sama, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan isteri, Puan Sri Fauziah Begum Abu Bakar dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.

Abdullah ditanya sama ada kedua-dua pegawai kanan itu akan dikecualikan daripada mengendalikan siasatan dan pendakwaan berkaitan dakwaan kes liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan keadilan dalam mengendalikan kes itu.

Musa dan Abdul Gani, masing-masing pegawai penyiasat dan pihak pendakwa dalam siasatan dan pendakwaan kes liwat ke atas Anwar kira-kira 10 tahun lalu.

Selasa lalu, Anwar memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan mendakwa mempunyai banyak lagi bukti berhubung pembabitan kedua-dua pegawai itu dalam pemalsuan dan penyembunyian fakta siasatan kes liwatnya 10 tahun lalu.

Keterangan itu dilakukan selepas Anwar membuat laporan polis ke atas kedua-dua pegawai berkenaan.

Ditanya adakah perkhidmatan Musa dan Abdul Gani akan digantung berikutan laporan polis oleh Anwar ke atas mereka berdua, Perdana Menteri berkata tindakan itu tidak perlu kerana siasatan kes berkenaan tidak dirujuk kepada mereka.

Sementara itu, Abdullah berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk memberi bayaran tunai kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi menggantikan projek yang ditangguhkan di negeri itu.

"Kita tiada cita-cita pun. Tiada cadangan untuk menunaikan permintaan seperti itu," katanya.

Perdana Menteri ditanya mengenai permintaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang mahu Kerajaan Pusat memberikan sebanyak RM4.7 bilion bagi menggantikan projek yang ditangguhkan iaitu Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR), monorel dan Empangan Mengkuang.

Mengenai dakwaan UEM Berhad tidak lagi menjadi kontraktor pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek tidak perlu dibincangkan secara terperinci.

"Apa yang penting ialah kita meneruskan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang," katanya.

Ditanya keputusan Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu, Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu terserah kepada ahli MCA.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdullah mahu generasi muda menggunakan ilmu pengetahuan untuk menambah nilai kepada pembangunan negara yang dicapai sejak tempoh 50 tahun lalu.

"Jika negara mahu meningkat maju dengan cepat, kekuatan modal insan perlu dibina dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai cabang dan aspek pendidikan yang sesuai," katanya.

Beliau berkata, pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian mereka tidak perlu mensia-siakan peluang berkenaan kerana ia tidak datang selalu.

"Percayalah bahawa pendidikan akan dapat melahirkan generasi yang berdaya saing dan maju,"katanya sambil menegaskan kerajaan tetap komited dan prihatin dalam menyediakan pendidikan berkualiti.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |