+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 21, 2008

Laporan palsu: Musa saman Anwar

Malaysiakini

Jul 21, 08 8:09pm

Ketua polis negara hari ini memfailkan saman malu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis penasihat PKR terhadap Tan Sri Musa Hassan atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata lebam" sedekad lepas.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican.

Musa menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah sebanyak lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Jumlah ganti rugi tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutannya, lapor Bernama.

Kamarul Hisham berkata writ saman itu akan diserahkan kepada Anwar secepat mungkin selepas pihaknya menerima salinan writ saman yang telah dimeterai oleh mahkamah.

Selain ganti rugi, Musa juga memohon satu perintah injunksi menghalang Anwar atau ejennya daripada mengulangi menerbit perkataan-perkataan berunsur fitnah itu, kata peguamnya itu kepada pemberita.

Dalam laporan polisnya 1 Julai, Anwar berkata Musa dan Abdul Gani telah memalsukan keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan serangan fizikal terhadapnya oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada pengetahuan umum sehingga matanya yang lebam didedahkan di mahkamah olehnya sendiri.

Pada masa itu, Musa seorang pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaan terhadap kes Anwar.

Dalam laporan polis itu, Anwar telah memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti apabila kedua-dua mereka dikatakan telah secara aktif terlibat dalam penyediaan laporan perubatan kedua yang menyimpulkan kecederaan yang dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, sebaliknya menyimpulkan kemungkinan kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa mendakwa perkataan- perkataan berunsur fitnah sebagai tidak berasas, dan tidak benar, dan merupakan satu pemfitnahan yang teruk terhadapnya mengakibatkan reputasi, imej, ketulusan dan nama baiknya terjejas di kalangan masyarakat umum dan dalam kapasiti profesionalnya.

Musa menafikan beliau berkomplot mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta Anwar berhubung insiden serangan itu daripada masyarakat umum dan menyatakan beliau tidak pernah pada bila-bila masa mengarahkan supaya laporan perubatan kedua disediakan.

Musa juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat terhadap Anwar - yang terdahulu pada 1998 dan 1999.

Menurut agensi berita itu lagi, Musa berkata Anwar telah secara berniat jahat membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani kerana laporan itu dibuat selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Anwar bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Beliau berkata Anwar membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani untuk mengalihkan pandangan dan fokus masyarat umum daripada tuduhan liwat yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar.

Musa mendakwa laporan polis itu juga dibuat oleh Anwar untuk mempengaruhi masyarakat umum bahawa tuduhan liwat oleh Mohd Saiful terhadap Anwar adalah satu lagi konspirasi politik terhadapnya.

Katanya, laporan polis itu juga dibuat bagi memusnahkan kredibiliti bukti-bukti dan keterangan yang dikumpulkan pihak polis dan juga memusnahkan kredibiliti saksi-saksi sekiranya Anwar dituduh atas pertuduhan meliwat bekas pembantu sukarelanya.

Musa berkata tohmahan lisan yang dibuat oleh Anwar dalam satu sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat PKR pada hari yang sama sejurus selepas laporan polis itu juga tidak tepat dan tidak berasas dari segi fakta.

Katanya, beliau, melalui satu surat peguam cara telah meminta Anwar menarik balik perkataan-perkataan fitnah dan tohmahan lisan itu serta permohonan maaf tetapi Anwar, telah dalam surat peguam cara menjawab dengan menafikan kesemua tuntutannya (Musa).

Musa berkata Anwar tidak mengendahkan surat tuntutan beliau (Musa) dan telah terus-menerus menerbitkan atau mengakibatkan penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu di laman-laman web dan blog.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |