+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, July 20, 2008

'Saya hanya ingin jelaskan keadaan sebenar' - Syed Hamid

Utusan Online

KOTA TINGGI 19 Julai - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, beliau sebenarnya tidak berminat untuk membincangkan soal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tugas memberi kenyataan menjadi tanggungjawabnya supaya polis dapat menjalankan kerja secara adil dan berkesan.

Menurutnya, beliau perlu memberikan penjelasan berhubung kes tuduhan liwat Anwar kerana ia telah dibincang secara terbuka oleh pelbagai pihak termasuk pembangkang, menunjukkan seolah-olah kes itu diadili orang ramai dan bukan institusi keadilan iaitu mahkamah.

Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sepatutnya tidak berasa khuatir dengan sebarang kenyataannya kerana sebagai menteri yang bertanggungjawab, kenyataan yang dikeluarkan itu bertujuan untuk mengelak kekeliruan rakyat.

"Saya sebenarnya tidak minat untuk cakap tentang dia (Anwar). Apa yang saya cakap adalah untuk tentukan keadilan dan bukannya bersifat serangan peribadi. Anwar jangan khuatir. Kita tidak berhak adili sesiapa kerana yang berhak hanya mahkamah.

"Menjadi tugas saya menjelaskan sebarang kekeliruan yang berlaku di kalangan masyarakat. Saya berpendapat jika keadaan ini tidak dibendung, ia boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat keseluruhannya,'' katanya.

Syed Hamid yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kebajikan Kota Tinggi dan Program Semaian Kasih Parlimen Kota Tinggi, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu menerusi peguam belanya, R. Sivarasa yang meminta Syed Hamid supaya berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai kes tuduhan liwat terhadapnya agar tidak menjejaskan siasatan polis.

Dalam pada itu, Syed Hamid meminta Sivarasa jangan campur tangan dalam urusan polis berhubung pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap anak guamannya itu.

"Sama ada polis nak mengambil sampel itu atau tidak, Sivarasa tidak perlu menyibuk untuk membuat kerja polis. Tugas hakikinya adalah memastikan kemenangan anak guamnya (Anwar),'' katanya.

Justeru, beliau meminta supaya semua pihak menyerahkan sepenuhnya siasatan tuduhan terhadap Anwar kepada pihak polis.

Katanya, adalah menjadi tugas polis untuk menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek bagi menentukan keadilan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Selain Anwar, kita juga ingin menentukan kebenaran tuduhan mangsa, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ini supaya kedua-dua pihak mendapat keadilan," katanya.

Pada 28 Jun lalu Mohd. Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya, kali terakhir dua hari sebelum itu di sebuah kondominium di Damansara di sini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |