+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

16 Sept bukan tarikh serta-merta tubuh kerajaan baru

Suara Keadilan

Oleh : Hafiz Mohamad

KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER (SK) - Tarikh 16 September yang dijanjikan penubuhan kerajaan baru bukanlah bermaksud kerajaan baru Pakatan Rakyat di bentuk dengan serta merta pada tarikh tersebut.

Ini disebabkan pelbagai protokol dan undang-undang perlu dibuat walaupun bilangan Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu usaha supaya proses peralaihan kuasa secara aman dapat dilakukan dengan teratur tanpa melibatkan insiden tidak di ingini berlaku.

Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan(AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan bahawa walaupun 16 September tidak terjadi kerajaan baru serta-merta tetapi tarikh tersebut tetap merupakan visi dan wawasan Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim dalam mencapai hasrat murni tersebut.

“Pada tarikh tersebut kita mengetahui bahawa Anwar mengumumkan secara rasmi bahawa jumlah minimum ahli Parlimen yang diperlukan telah mencukupi,”ujarnya kepada Suara KeADILan pagi ini.

Shamsul menjelaskan pada tarikh tersebut Ahli Majlis Tertinggi (MPT) KeADILan Johari Abdul telah menemui Perdana Menteri Abdullah Badawi bagi menyerahkan surat bagi membincangkan soal peralihan kuasa kepimpinan negara.

“Malah dalam sidang akhbar baru-baru ini Anwar menjelaskan bahawa beliau ingin mengambil alih kuasa secara aman tanpa sebarang huru-hara dalam negara,”katanya.

Shamsul berpendapat Anwar Ibrahim juga memikirkan tentang keselamatan rakyat justeru itu usaha pertimbangan bagi mengambilkira keselamatan Ahli Parlimen BN yang telah berhijrah tetap ditekankan.

“Disebabkan itu identiti mereka sengaja tidak didedahkan demi menjamin keselamatan mereka,”tambahnya.

Beliau turut melahirkan perasaan kecewa apabila kerajaan pusat pimpinan BN telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) bagi menangkap Exco Selangor Teresa Kok, penulis blog Malaysia Today Raja Petra dan wartawan Sin Chew Daily yang telah dibebaskan baru-baru ini, Tan Hoon Cheng.

“Ini juga adalah salah satu faktor kenapa kita dalam Pakatan Rakyat mahu berunding secara baik dan proses pertukaran yang bakal berlaku akan menjamin keselamatan dan keamanan negara,”ujarnya.

Shamsul turut mempersoalkan tindakan Abdullah dan Timbalannya Najib Abdul Razak yang menukar portfolio kedua masing-masing sebelum ini iaitu jawatan Menteri Kewangan yang disandang oleh Abdullah serta Najib sebagai Menteri Pertahanan.

“Kita tidak menolak kemungkinan tindakan menukar jawatan ini adalah sebagai persiapan Abdullah bagi menghadapi tindakan pertukaran kuasa yang mengancam kedudukan beliau dan timbalannya selaku pemimpin tertinggi negara,”kata Shamsul.

Bagi Shamsul AMK tetap mendesak supaya Perdana Menteri tersebut supaya menyahut seruan Anwar selaku Ketua Pembangkang supaya dapat diadakan pertemuan empat mata antara mereka.

Menurut Shamsul lagi beliau berharap agar Abdullah dapat membuat Sidang Rakyat tergempar di Parlimen seperti mana yang telah diminta oleh Anwar baru-baru ini.

“Dalam mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi tidak ada kejanggalan bagi Perdana Menteri berjumpa dengan Ketua Pembangkang untuk berbincang mengenai soal peralihan kuasa melainkan Abdullah benar-benar takut kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan tergugat,”tambahnya lagi.

Dalam pada itu Shamsul memberi saranan kepada Abdullah supaya jika beliau benar-benar memikirkan kepentingan rakyat beliau mesti tidak mengelak daripada berjumpa dengan Anwar.

“Keadaan ekonomi negara memang sudah tidak stabil lagi ditambah lagi dengan pergolakan politik negara yang kacau-bilau,”ujarnya lagi.

Tambah Shamsul lagi transformasi kuasa mesti dilakukan dengan baik seperti mana tradisi negara mengalami proses kemerdekaan dengan baik.

“Cuma ini saja caranya dan saya berharap tidak akan ada pertumpahan darah,”tambahnya lagi.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad juga menegaskan bahawa tarikh 16 September tetap menjadi agenda kemuncak bagi komponen Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru.

Menurut Dr.Zulkifli agenda menubuhkan kerajaan baru telah bermula sejak pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac lalu selepas gabungan pembangkang berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga BN disamping merampas 5 negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

“Sejak pakatan pembangkang memperoleh pencapaian cemerlang kami terus merangka menggantikan nama gagasan pembangkang sebelum ini iaitu Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat,”kata Dr.Zulkifli.

Pada tarikh itu, menurut Dr Zulkifli, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat telah menetapkan bahawa 16 September iaitu tarikh sejarah pengisytiharan Malaysia sebagai semangat baru ke arah kerajaan baru.

“Kita sedia maklum bahawa pada tarikh yang telah berlalu itu tidak ada persidangan parlimen kerana parlimen masih berehat sempena bulan Ramadhan,”tambahnya.

Ujar Dr.Zulkifli disebabkan itu Anwar Ibrahim menuntut Abdullah mengadakan Sidang Rakyat tergempar bagi membincangkan usul tidak percaya kepada kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang dilakukan oleh Anwar adalah selaras dengan undang-undang dan mengikut Perlembagaan Negara.Kalau hendak menunggu sehingga persidangan seterusnya iaitu 13 Oktober memang tidak munasabah,”kata Dr.Zulkifli.

Dr.Zulkifli menambah bahawa negara ini sudah tidak ada pelabur asing untuk melabur di sini setelah meneliti masalah yang berlaku dalam negara ini.

“Ekonomi Malaysia sudah semakin parah dan pelabur asing akan kembali melabur untuk menaikkan ekonomi Malaysia dengan syarat Pakatan Rakyat mesti mengambilalih pentadbiran negara segera,”ujarnya lagi.

Tambah Dr.Zulkifli lagi rakyat secara ketara mahukan perubahan dalam kerajaan apabila pengundi Permatang Pauh menolak calon BN Arif Shah ketika pilihanraya kecil pada 26 Ogos lalu dengan memberikan kemenangan yang besar kepada Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Anwar sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan,Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew menjelaskan bahawa tarikh 16 September baru-baru ini bukan untuk sewenang-wenangnya boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan secara mendadak.

Adun Pandamaran itu menjelaskan bahawa proses teknikal masih belum selesai.

“Walaupun kita (Pakatan Rakyat) sudah mencukupi bilangan ahli Parlimen dan layak menubuhkan kerajaan, kita kena ikut prosuder yang sepatutnya,”ujar Ronnie.

Menurut Ronnie walaupu Pakatan Rakyat sudah memohon mengadakan Sidang Rakyat tergempar di Parlimen sehingga kini Abdullah Badawi masih belum memberikan jawapan mengenai perkara itu.

“Sebab itu kita memberi peluang sehingga 23 September dan jika tidak ada apa-apa jawapan selepas itu kita bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya,”tambah Ronnie lagi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub menjelaskan walaupun tidak ada perubahan serta-merta pada tarikh 16 September tetapi melalui tarikh tersebut adalah ke arah kerajaan baru.”Tarikh ini merupakan “Seruan Perjuangan” iaitu gegakan sempena mengingati detik bersejarah pengistiharan gagasan Malaysia pada 16 September 1963″kata Salahuddin.

Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa tidak semestinya pertukaran kerajaan berlaku secara mengejut pada tarikh tersebut namun perubahan akan tetap berlaku selepas itu kelak.

Menurut Salahudin untuk mencapai sasaran ke tarikh tersebut sebenarnya bukannya mudah kerana ianya melibatkan ramai Ahli Parlimen BN yang sendiri mahu berpindah parti.

“Menjelang tarikh itu juga macam-macam perkara terjadi seperti perbicaraan kes liwat ke atas Anwar, Ahli Parlimen di bawa lari ke Taiwan dan penangkapan Exco Selangor Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh,”ujarnya lagi.

Salahudin turut mengaku bahawa rakyat Malaysia sendiri yang menuntut perubahan berdasarkan keputusan pilihanraya umum dan pilihanraya Permatang Pauh yang lepas.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |