+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

Abdullah Harap Harga Minyak Akan Turun

Bernama


BIAR KABINET PUTUSKAN... Abdullah bersama Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan pada sidang berita selepas Mesyuarat Majlis Exco Ekonomi Kedua di Putrajaya, Selasa. Abdullah berkata pengurangan harga bahan api perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Kabinet esok. "Jika esok kita tengok ada, adalah," katanya. <>Foto: Mahayudin Mohamad

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata adalah menjadi harapannya harga petrol dan diesel dapat dikurangkan daripada harga semasa berikutan harga minyak mentah dunia yang kini berada pada paras kira-kira AS$100 setong.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Kabinet esok.

"Perkara yang berkaitan dengan minyak, subsidi dan seumpamanya adalah perkara-perkara yang diputuskan di dalam Kabinet.

"Dan lebih baiklah kita tunggu dulu daripada memberi sebarang bayangan berkaitan dengan perkara itu.

"Jika esok kita tengok ada, adalah, harap-harap begitulah (harga minyak turun)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Exco Ekonomi Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika ditanya sama ada pengumuman esok, berhubung harga minyak, merupakan hadiah hari raya kepada rakyat menjelang sambutan perayaan tersebut tidak lama lagi.

Sabtu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata keputusan sama ada kerajaan akan menurun atau mengekalkan harga runcit petrol dan diesel bakal diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Harga seliter petrol RON 97 sekarang RM2.55 seliter manakala harga diesel pula ialah RM2.50 seliter.

Pada Jun lalu, kerajaan menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua bahawa telah ada hubungan awal antara orang tengah mereka dan orang tengah Abdullah berhubung peralihan kuasa, Abdullah berkata ia merupakan laporan paling gila yang beliau pernah dengar.

Abdullah turut menegur pihak media yang membuat laporan berhubung perkara itu.

"Ia adalah laporan paling gila yang pernah saya dengar. Apa yang perlu dilaporkan, kamu (media) perlu fikir dahulu sebelum membuat laporan sedemikian," katanya.

Beliau berkata tidak ada sebarang mesyuarat diadakan dengan wakil daripada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam laporan Agence France-Presse (AFP), Tian Chua berkata hubungan itu telah dibuat pada hujung minggu dan lebih daripada satu perjumpaan telah diadakan.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |