+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 10, 2008

Akhil saudara saya - Waheeda




TERKEJUT mendengar apa yang diluahkan oleh pelakon dan juga penyanyi lagu-lagu berunsur dakwah, Waheeda setelah ditanya berhubung perkembangan terbaru dirinya.

Maklumlah selepas dilanda kontroversi dikatakan berkahwin senyap-senyap, si empunya diri pula tiba-tiba seolah-olah menghilang daripada perhatian media.

Teruja sekali untuk mengetahui bagaimana kesudahannya gosip yang mendakwa Waheeda sudah menjadi isteri kedua kepada seorang penyanyi nasyid, Ustaz Akil Hayy.

Namun, ini ada sesuatu yang baru dikhabarkan oleh pemilik wajah jelita ini. Menguntum senyuman manis dan tidak sesekali melatah, malah Waheeda dengan tenang memberitahu, Ustaz Akil Hayy sebenarnya merupakan saudaranya sendiri. Bukan peminat dan media saja terkejut dengan penjelasan ini, pastinya empunya diri juga begitu.

"Terkejut juga saya dapat tahu sebenarnya kami bersaudara.Hal ini dimaklumkan oleh ibu saudara saya sendiri sewaktu hari keluarga kami baru-baru ini.

"Kami dikatakan mempunyai tali persaudaraan. Kiranya saudara jauh-jauh yang tidak pernah berjumpa. Tak sangka pula, dunia ini memang kecil sahaja," jelasnya dengan bersungguh-sungguh dan sekali lagi mengesahkan desas-desus yang dicanang sebelum ini sebagai tidak benar.

Ekoran pelbagai tempias gosip panas sejak kebelakangan ini telah memberi tekanan cukup hebat kepada Waheeda. Bertambah menyakitkan apabila gosip yang dilontarkan itu tidak pernah reda walaupun pelbagai jawapan telah diberikan.

Walaupun hati cekal menghadapinya tetapi lama kelamaan sebagai insan yang menjadi mangsa gosip, sedikit sebanyak akan kecundang jua semangat dalam dirinya.

Mana tidaknya belum dapat menepis yang lama, timbul pula isu lain yang dibangkit dan diperkatakan lagi.

Bagaimanapun dengan keberkat doa sepanjang masa, segala fitnah yang dilontarkan akhirnya terpadam begitu sahaja.

Dalam menempuhinya, Waheeda masih mampu tersenyum manis, malah melayan segala kerenah berhubung spekulasi dirinya sepanjang berada di dunia hiburan dengan tenang.

Di sebalik ukiran senyuman yang menguntum manis, siapa sangka Waheeda sebenarnya baru sahaja sembuh melawan penyakit yang tiba-tiba menyerang dirinya. Penghibur jelita ini cukup tertekan gara-gara terhimpit dengan pelbagai tohmahan tidak berasas.

"Mungkin terlalu tertekan dengan pelbagai masalah, itu yang menyebabkan saya telah mengalami gangguan hypertension," terang Waheeda berhubung penyakit yang dialaminya itu.


WAHEEDA tetap menafikan sekeras-kerasnya berita dia sudah menjadi isteri kedua Akhil Hayy.


Beritahunya lagi penyakit itu mula teruk menimpa dirinya pada bulan lalu. Ini serba sedikit telah mengganggu aktiviti seninya termasuk pembikinan album dan juga pengambaran rancangan televisyen.

Menceritakan detik pertama diserang hypertension, ia bermula dengan mengalami tekanan darah rendah kemudiannya melarat sehingga badan Waheeda selalu sahaja menggeletar.

"Ogos lalu memang teruk sangat keadaan saya, badan asyik menggeletar. Alhamdulillah, setelah dapat rawatan segalanya terkawal dan dua minggu sebelum Ramadan ia kembali pulih.

"Yang penting saya perlu banyak ambil vitamin dan nasib baik saya sedar dan dapat mengesan dengan awal sebab penyakit ini boleh membawa maut," ulasnya berterus terang.

Ekoran itulah, segala yang menimpa dirinya dan beban kerja menyebabkan Waheeda sekali lagi diserang penyakit lama. Mungkin banyak tidak tahu bahawa dua tahun lalu, dia pernah terlantar di hospital disebabkan tekanan darah rendah.

"Lepas ini saya perlu berjaga-jaga dengan tahap kesihatan supaya perkara sama tidak akan berulang lagi," janji Waheeda.

Ceburi nasyid TamilWaheeda satu nama yang tidak perlu diperkenalkan dalam bidang seni. Kewujudan penyanyi cantik bertudung sopan dalam industri ini bukan setakat 'menjadi' menerusi bidang nyanyian, malah juga bidang lakonan.

Sikap beraninya harus dipuji kerana ada sahaja sesuatu percubaan baru dalam dunia nyanyian yang dicetuskan oleh Waheeda. Malah gelaran artis yang mahir pelbagai bahasa juga mungkin sesuai diberikan kepada penyanyi ini.

Lihat sahaja kemunculan album Melodi Ahlan pada tahun lalu mengandungi lima jenis lirik bahasa yang digunakan seperti Bahasa Afrika (Swahili), Arab, Sepanyol dan Bahasa Inggeris.

Tidak dengan hanya percubaan bahasa-bahasa itu sahaja, Waheeda kini bakal tampil dengan album bersama artis-artis nasyid yang lain dengan mendendangkan alunan muzik nasyid berbahasa Tamil.

"Menerusi album ini saya bekerjasama dengan seorang ahli perniagaan Manee Mohan dan pengalaman menyanyi dalam berbahasa Tamil amat menggembirakan dan satu pengalaman baik dalam diari seninya. Sebuah daripada lagu Tamil berkenaan berjudul Ellaam Unaale (Kerana Kau Ya Allah).

Belum terfikir kahwin

Memandangkan tidak lama lagi, usianya bakal mencecah 30 tahun, maka tidak salah sekiranya menanyakan perancangannya selepas ini berhubung mendirikan rumah tangga.


KESIHATAN Waheeda agak terjejas gara-gara tekanan yang dihadapinya sebelum ini.


Mungkin inilah impian yang belum diperolehinya lagi. Namun dengan jujur Waheeda menyatakan dirinya belum lagi terfikir untuk membina mahligai memandangkan masih banyak perkara penting yang harus diberi perhatian dalam hidupnya terutamanya terhadap kerjaya seni. Waheeda juga dikatakan akan menamatkan kerjayanya sehingga penghujung tahun ini setelah tujuh tahun berkecimpung dalam dunia hiburan. Menyentuh mengenai persaraannya, menurut Waheeda dia mempunya perancangan sendiri.

"Saya perlu selesai segala-galanya sebelum berundur diri. Insya-Allah selepas ini saya akan beri tumpuan kepada perniagaan dan barulah soal kahwin," terangnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |