+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 8, 2008

BPR siasat Laporan Ketua Audit

Berita Harian

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


Datuk Shukri Abdull

Tiga kes salah urus dikesan

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesan sekurang-kurangnya tiga kes salah pengurusan dana awam dalam pelaksanaan program dan projek jabatan kerajaan, ekoran penelitian terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2007 yang dibentangkan 29 Ogos lalu.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull, berkata pihaknya mengenal pasti wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan dana kerajaan membabitkan kes berkenaan.

"Kita akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes itu mulai esok di semua jabatan terbabit. Kertas siasatan yang dibuka ini adalah peringkat permulaan dan mungkin ada beberapa kes lagi menyusul," katanya kepada Berita Harian semalam.

Laporan Ketua Audit Negara 2007 yang dibentangkan di Parlimen pada 29 ogos lalu mendedahkan wujud banyak kelemahan di beberapa kementerian dan agensi kerajaan. Antaranya kehilangan peralatan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bernilai RM9.56 juta dan kelemahan pengurusan sistem kompaun Jabatan Alam Sekitar (JAS) di beberapa negeri.

Isu lain yang dilaporkan sebelum ini ialah penggunaan tanah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tunggakan saman trafik, pelaburan RM537.04 juta Composite Tecnology Reseach Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang memiliki anak syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat tetapi mencatatkan kerugian serta pembelian mesin pengimejan oleh Kementerian Kesihatan bernilai RM33 juta.

Turut didedahkan laporan audit itu ialah kelemahan pengurusan berhubung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan projek pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Wilayah Laut 11, Teluk Sepanggar, Sabah.

Tahun lalu, BPR menahan 15 individu susulan pendedahan Laporan Audit Negara 2006, termasuk tiga orang awam di kalangan kontraktor dan perunding projek. Berikutan itu, 12 pegawai awam didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan membabitkan penyelewengan dan salah urus dana awam.

Shukri berkata, semua jabatan terbabit diharap dapat memberi kerjasama penuh kepada pegawai BPR yang menjalankan tugas untuk melengkapkan kertas siasatan sama ada mengumpul maklumat, dokumen atau merekodkan keterangan.

Beliau berkata penelitian yang dilakukan turut mengambil kira aspek tuntutan palsu pihak yang bertanggungjawab hingga menimbulkan pelbagai masalah sampingan di peringkat dalaman agensi tertentu.

Setiap aspek yang dibentangkan perlu disemak bagi menentukan sama ada maklumat itu mempunyai asas untuk membuka kertas siasatan.

"Isu berkaitan kelemahan prosedur akan diteliti oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan BPR untuk tujuan penambahbaikan dalam sistem penyampaian awam," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |