+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

Kesan Pertukaran Kementerian Abdullah-Mohd Najib

Detik daily

OLEH KADIR JASIN



ANTARA bukti keakraban dua sahabat adalah apabila mereka saling tukar menukar. Tukar menukar kereta. Engkau pakai kereta aku, aku pakai kereta engkau. Tukar menukar pakaian. Engkau pinjam baju aku, aku pinjam baju engkau.


Di sesetengah tempat dan dalam sesetengah masyarakat dan kumpulan, mereka memanifestasikan keakraban mereka dengan bertukar-tukar isteri atau suami -- wife/husband swapping.

Maka begitulah akrabnya perhubungan di antara Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Mohd Najib Abdul Razak apabila mereka semalam (17 September) saling tukar menukar kementerian.

Abdullah memberikan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib dan Mohd Najib menyerahkan Kementerian Pertahanan kepada Abdullah.

Perdana Menteri berkata ini adalah sebahagian daripada persetujuan peralihan kuasa di antara beliau dengan Mohd Najib.

Boleh jadi saya buta maklumat atau nyanyuk, tetapi tidak pula terbaca atau teringat bahawa tukar-menukar kementerian ini adalah antara syarat peralihan kuasa di antara Abdullah kepada Mohd Najib.

Tetapi tidak apalah. Saya rasa pemindahan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib adalah langkah yang baik di dalam suasana ekonomi negara yang terumbang-ambing dan ekonomi dunia diancam kemelesetan akibat krisis pembankan di Amerika Syarikat sekarang.

Saya sangat berharap Mohd Najib dapat memberi gambaran yang lebih jelas dan meyakinkan kita semua mengenai hala tuju ekonomi dan kewangan negara.

Seperti saya nyatakan dalam “posting” 17 September “Even the best economists and the most astute businessmen are unsure which way our economy is going.”

(Hatta ahli ekonomi yang terbaik dan ahli perniagaan yang paling bijak pun tidak pasti arah tuju ekonomi negara sekarang.)

Saya secara terus terang dan terbuka pernah menulis di dalam kolum Other Thots, majalah Malaysian Business bahawa Abdullah tidak patut memegang jawatan Menteri Kewangan terlalu lama kerana kementerian itu memerlukan penumpuan masa yang rapi dan kewibawaan yang tinggi.

Semua orang tahu bahawa ekonomi dan kewangan bukanlah “forte” atau kepakaran Abdullah.

Jadi sangat eloklah pada ketika ekonomi negara dan dunia diancam krisis ini jawatan Menteri Kewangan dipindahkan kepada seorang yang lebih tahu.

Saya tidak mahu mempertikaikan pengambilan alih Kementerian Pertahanan oleh Abdullah selain mengatakan bahawa Abdullah mungkin berasa perlu ada sebuah kementerian di bawah jagaannya.

Namun sudah pun ada orang yang bertanya apa perlunya Abdullah mengambil alih kementerian tentera.

Abdullah sekali lagi mengulangi yang dia tidak akan berundur sebelum 2010.

Semalam juga menyaksikan pengunduran Parti Progresif Sabah (SAPP) daripada Barisan Nasional. Buat masa ini, SAPP akan menjadi parti bebas dan tidak ada rancangan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

SAPP mempunyai dua orang Ahli Dewan Rakyat dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri di Sabah. Serentak itu, timbalan ketua SAPP, Raymond Tan, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Negeri.

Turut menjadi tajuk berita adalah penangkapan blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz, pemilik blog “kickdefella” kerana disyaki menghasut. Dia ditahan di rumahnya di Kota Baru.

Sementara itu Ahli Parlimen Seputeh yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah mengemukakan saman terhadap Utusan Malaysia, pengarang kanannya Zaini Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo “kerana menjadi punca penahanannya.”

Manakala naib ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, pula mengumumkan penawaran diri sebagai calon ketua pemuda pada pemilihan Disember ini.

Di Amerika, krisis perbankan dan kewangan semakin meruncing dan memaksa Bank Pusat (Federal Reserve) memberi pinjaman AS$85 bilion (kira-kira RM292.4 bilion) kepada kumpulan insurans AIG bagi menyelamatkannya daripada muflis.

Dengan semua kemelut ini, rasanya eloklah jikalau Mohd Najib segera mengadakan pertemuan dengan seramai mungkin penggiat ekonomi dan kewangan bagi mencari jalan melindungi ekonomi negara daripada kesan krisis kewangan dan pembankan antarabangsa yang sedang melanda sekarang.

Lupakan sementara ancaman Anwar Ibrahim untuk menggulingkan mereka. Eloklah mereka hadapi realiti daripada mengigau di siang hari.

1 comments:

CERITA BONUS CNI said...

MUJUR TAK SEMPAT NAK BERTUKAR LAMPIN PAKAI BUANG...HEHEHEH JANGAN MARAH...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |