+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 11, 2008

Negara stabil, tentera tidak campuri isu perkauman - Panglima ATM

Mstar Online

11-09-2008 02:53:04 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan tidak akan mencampuri urusan politik termasuk dalam isu-isu berkaitan dengan sentimen perkauman, yang menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, menurut Panglima ATM, Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal (gambar), pihaknya menyerahkan kepada pemerintah untuk menguruskannya kerana ia melibatkan elemen politik.

"ATM sebagai sebuah organisasi yang profesional tidak akan campur tangan kerana isu perkauman ini berkaitan dengan soal politik," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Abdul Aziz turut mengaku bahawa pada masa ini negara masih berada dalam keadaan stabil.

Dua hari lalu beliau menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membangkitkan isu-isu berbaur perkauman kerana perbuatan sedemikian boleh mencetuskan keadaan huru-hara.

Mengulas mengenai kenyataan beliau itu, Abdul Aziz berkata perkara itu tidak bermaksud ATM akan campur tangan dengan keadaan politik semasa.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya hanya suarakan pandangan dan perhatian terhadap isu ini," katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan pihak ketenteraan tidak akan masuk campur dalam hal berkenaan kecuali adanya permintaan melalui proses undang-undang.

Ditanya sama ada ATM mempunyai sebarang cadangan bagi memperbaiki hubungan antara kaum di Malaysia, beliau berkata perkara itu adalah urusan pemerintah.

"Biarkan pemerintah yang uruskan soal untuk meningkatkan hubungan perpaduan di negara kita," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tanggungjawab mewujudkan kestabilan hubungan antara kaum perlu dipikul bersama oleh semua rakyat di negara ini.

Tambah beliau masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai peranan yang sama dengan kerajaan bagi memastikan negara terus stabil.

Ditanya sama ada ATM telah bersedia jika berlakunya sebarang kekacauan, beliau berkata ATM sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Ya, sama seperti tema sambutan Jubli Intan sempena sambutan hari ATM ke-75 pada tahun ini iaitu 'Komitmen kami, keyakinan anda', jadi kami sentiasa bersedia," katanya.

Diminta mengulas sama ada ATM akan terus memberikan kerjasama kepada kerajaan baru pada 16 September seperti yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau enggan mengulas lanjut mengenai sebarang spekulasi.

1 comments:

Unknown said...

Panglima ATM memberi jaminan bahawa mereka tidak akan campur tangan dalam isu politik yang melibatkan isu perkauman. Beliau hany memberi pendangan dan tanggungjawab menyelesaikannya terletak di bahu kerajaan. Bagaimanapun beliau juga turut memberi jaminan bahawa mereka turut bersedia untuk menghadapi pelbagai dugaan yang timbul dari isu perkauman...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |