+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 11, 2008

PAS tentang cubaan cetus isu perkauman - Nik Aziz

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Thu | Sep 11, 08 | 12:33:40 pm MYT

KOTA BHARU, 11 Sept (Hrkh) - Peringatan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal mengenai isu-isu perkauman yang dicetus pemimpin-pemimpin politik perlu diberi perhatian semua pihak.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pandangan Jeneral tersebut perlu diambil perhatian kerana isu perkauman yang ditimbulkan sesetengah pihak kebelakangan ini begitu membimbangkan.

"Pihak tentera amat bimbang dengan senario itu dan menyarankan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menimbulkan isu perkauman," katanya di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Panglima Angkatan Tentera yang mendakwa isu perkauman yang ditimbulkan ahli-ahli politik sekarang boleh menjurus kepada keadaan huru-hara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa kenyataan seperti itu mungkin secara langsung ditujukan kepada Umno dan Gerakan memandangkan mereka sedang bertelagah sesama ekoran isu perkauman yang ditimbulkan Umno.

Menurutnya juga sejak awal lagi Islam menolak perjuangan berasaskan kebangsaan kerana ia boleh menjurus kepada semangat perkauman.

"Dalam al-Quran disebut "Sengaja Allah jadikan kaum itu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain," ujarnya.

Kata beliau Umno dan Barisan Nasional (BN) bergerak atas asas perkauman di mana parti itu memupuk semangat perkauman mengikut sentimen bangsa masing-masing.

Katanya, kaum Cina dengan MCA, India dengan MIC dan Melayu dengan Umno yang akhirnya bertembung sesama sendiri akibat masalah perkauman yang ditiupkan dalam perjuangan mereka," katanya.

Sedangkan PAS, tambahnya sejak awal lagi menolak soal perkauman yang telah menjadikan Islam sebagai dasar dalam perjuangannya.

Beliau berkata, PAS memberi kesedaran kepada penganutnya supaya menjalin hubungan baik semua bangsa seperti saudara sendiri.

"Di Kelantan kerajaan negeri yang mentadbir secara Islam tidak pernah meminggirkan golongan minoriti, antaranya Skim Takaful Kifaalah dan Takaful Armalah diberikan kepada semua kaum.

"Selain itu, kita juga menterjemahkan gabungan tiga budaya pada Masjid Jubli Perak di Rantau Panjang bagi menggambarkan penghormatan pimpinan kerajaan negeri kepada golongan terbabit," katanya.

Oleh itu beliau berkata, PAS menentang habis-habisan mereka yang membangkitkan isu perkauman kerana ia mendatangkan mudarat besar kepada seluruh rakyat.

Sementara itu, ada sumber menyebut isu perkauman seperti sengaja dibangkitkan pemimpin Umno dalam usaha mereka menggagalkan rancangan Pakatan Rakyat menubuh kerajaan pada 16 September ini.

Katanya, ia dibuktikan apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lambat mengambil tindakan terhadap Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail biar pun tindakan dan kenyataannya ternyata boleh menggugatkan perpaduan kaum di negara ini.

"Perdana Menteri hanya menggantungkan jawatan pemimpin itu dalam Umno dan bukannya mengenakan tindakan mengikut undang-undang seperti dikenakan terhadap pemimpin pembangkang sebelum ini," katanya. - mj _

1 comments:

Unknown said...

Memang tak dinafikan bahawa teguran pihak tentera berkaitan isu perkauman harus dipandang dan diambil berat kerana sangat penting untuk mengekalkan kestabilan negara. Dalam hal ini kita tidak boleh menuding jari kepada Pak Lah, menyalahkan beliau dan UMNO dalam isu perkauman. Sebenarnya isu perkauman telah berlaku sejak sebelum Pak Lah memerintah lagi. Pada zaman Mahathir, ia tetap berlaku...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |