+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 15, 2008

Zaid letak jawatan Kabinet, Perdana Menteri dipercayai tidak terima

Mstar Online

15-09-2008 07:11:15 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai anggota Kabinet.

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai khas beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

"Ya, perkara itu betul (letak jawatan). Surat letak jawatan juga telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini," katanya.

Pejabat Zaid juga berkata, beliau akan menjelaskan pendiriannya dan alasan atas keputusan beliau pada sidang akhbar pagi esok.

Bagaimanapun mStar Online difahamkan Perdana Menteri tidak menerima hasrat Zaid itu.

Abdullah berada di Kuala Terengganu sempena majlis berbuka puasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Zaid sewajarnya menarik balik surat meletak jawatan.

"Pak Lah dah terima ke? Tak payahlah merajuk-rajuk. Tarik baliklah... kalau tak setuju bawa ke Kabinet," kata beliau kepada The Star petang tadi.

Keputusan itu dibuat sehari selepas beliau memberikan pandangan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Kata beliau, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Sehubungan itu jelas Zaid, beliau sedia untuk meletak jawatan kerana memberikan pandangan yang dilihat bertentangan dengan 'dasar kerajaan' itu.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas soal perundangan dan kehakiman itu berkata, beliau bukan sebagai pencetus masalah kepada Perdana Menteri, sebaliknya hanya mempertahankan prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA.

Zaid merupakan peguam terkenal yang menyertai arena politik kemudian dan kini merupakan anggota Umno. Beliau menyertai Umno tahun 2000.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004 hingga 2008.

Pada pilihan raya umum Mac lalu beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi kemudian menyertai jemaah menteri selaku senator.


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |