+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, November 18, 2008

Angkasawan nafi minta bayaran berceramah

Berita Harian


Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

KUALA LUMPUR: Angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, mengaku ada menerima sumbangan apabila beliau memberikan ceramah tetapi menafikan dakwaan beliau meminta bayaran bagi sesi berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mengambil bahagian dalam acara jalan kaki 'Sixth Batik Fun Walk 2008' anjuran Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) di sini, semalam, Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau biasanya memberi ceramah di sekolah dan melakukannya secara percuma.

"Saya sudah berjumpa Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadilah Yusof untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan berkenaan dan beliau berpuas hati dengan penjelasan saya.

"Saya harap kita dapat menyelesaikan insiden malang ini kerana ia menjejaskan kewibawaan saya," katanya ketika diminta mengulas berhubung dakwaan beliau meminta bayaran RM8,000 bagi satu jam berceramah.

Sebelum ini, sebuah akhbar dan portal berita melaporkan, Dr Sheikh Muszaphar didakwa mengenakan bayaran RM8,000 bagi sejam sesi ceramah, tidak termasuk penginapan hotel serta tambang pengangkutan.

Memetik sumber korporat, portal berita itu turut melaporkan Dr Sheikh Muszaphar yang berjaya menjadi warga Malaysia pertama berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober tahun lalu, boleh memperoleh kira-kira RM1.2 juta hasil bayaran itu.

Berikutan laporan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), meminta orang ramai atau pihak yang mendakwa dikenakan bayaran berkenaan supaya membuat laporan bagi membolehkan perkara terbabit disiasat.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Johnity Ongkili pula dilaporkan sebagai berkata, beliau mengakui Dr Sheikh Muszaphar Shukor kini lebih nampak seperti selebriti berbanding saintis.

Sehubungan itu katanya, kementerian sedang meneliti kontrak angkasawan negara itu yang akan berakhir pada 31 Disember ini termasuk menimbangkan sama ada ia perlu disambung atau sebaliknya, mengikut kesesuaian.

Sementara itu, 'Batik Fun Walk 2008' anjuran Penyayang yang bertujuan untuk mempromosikan hasil seni batik serta mengumpul dana untuk disalurkan kepada pesakit kanser, disertai kira-kira 1,200 orang.

Pengerusi Penyayang, Nori Abdullah berkata, pihaknya gembira dengan jumlah peserta yang mengambil bahagian kerana ia berganda berbanding acara yang sama tahun lalu. Turut menyertai acara itu ialah suaminya yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin. - Bernama.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |