+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, November 3, 2008

Bahaya melamin, kerajaan gagal maklum lebih awal - Fomca

Harakahdaily

Nyza Ayob
Mon | Nov 03, 08 | 1:51:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) -Kerajaan diangggap gagal dalam memberikan makluman awal tentang bahayanya isu melamin kepada rakyat negara ini walaupun, isu ini telah tercetus lebih setahun yang lalu di negara luar.

Menurut Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia(Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman dalam satu wawancara dengan Harakahdaily baru-baru ini, tindakan kerajaan dianggap agak terlewat walaupun masih belum terlambat.

"Rakyat hanya dimaklumkan mengenai isu melamin melalui media massa. Namun begitu Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri gagal membuat maklumat awal tentang isu melamin ini sehinggalah ia didedahkan melalui media massa,"jelasnya.

Tambahnya, kes melamin ini telah berlaku sejak awal tahun 2007 lagi.

"Sewajarnya pihak kementerian telah mengambil tindakan awalan dalam bentuk pencegahan terhadap produk susu daripada negara China apabila ia mula dikesan oleh Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan dan Amerika Syarikat (US FDA) yang telah mengeluarkan arahan menarik balik beberapa jenama produk makanan haiwan yang diimport dari negara China yang didakwa mengandungi melamin yang tinggi.

"Akibat daripada kelewatan tindakan ini, rakyat mulai berasa curiga tentang keselamatan produk makanan yang dijual di negara ini kerana sebahagian besar daripada bahan mentah produk makanan adalah daripada negara luar, khususnya negara China.

Beliau menegaskan, apabila isu melamin ini memuncak, baharulah kerajaan mulai membuat pemeriksaan terhadap beberapa produk makanan yang dihasilkan dalam negara yang dikhuatiri menggunakan bahan mentah daripada susu yang diimport dari negara China.

Walaupun demikian katanya, Fomca ketika ini berpuashati dengan langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengawal melamin dalam produk makanan dengan melakukan pemeriksaan terhadap produk makanan tersebut.

Namun kata Yusof, pada masa ini tidak terdapat kaedah tertentu yang boleh digunakan oleh rakyat untuk mengetahui tentang sesuatu produk makanan mengandungi melamin, kecuali ia telah melalui proses pemeriksaan kandungan kimia, seperti yang dilakukan di makmal Jabatan Kimia.

"Selain itu, rakyat boleh membuat langkah pencegahan awal dengan tidak membeli produk makanan daripada China. Namun begitu sayur-sayuran dan buah-buahan yang diimport dari China tidak mempunyai label negara pengeluar asal.

"Ini menyukarkan rakyat untuk mengelakkan diri mereka daripada membeli produk dari China,"jelasnya lagi.

Oleh yang demikian katanya, Fomca berharap kerajaan sewajarnya mengharamkan penggunaan melamin dalam produk makanan, khususnya rumusan susu bayi.

"Kerajaan juga, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, perlu menyediakan sistem amaran awal tentang sesuatu penyakit yang menular iaitu berdasarkan penularan penyakit tersebut di luar negara.

"Begitu juga Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menetapkan tahap melamin sebagai keperluan dalam Peraturan Makanan 1985.Pihak pengimport dan pembekal produk makanan import, termasuk pemilik pasar raya besar mesti melabelkan atau memasukkan maklumat negara asal pada produk mereka.

"Ini boleh menjadi tindakan pencegahan kepada pengguna untuk tidak membeli produk tersebut jika mereka bersikap was-was,"tegasnya.

Selain itu katanya, langkah yang selamat ialah tidak menjual langsung produk makanan daripada negara China sehingga keadaan menjadi reda dan dipastikan produk tersebut bebas daripada kandungan melamin.

"Selain itu, pengguna perlu mengelak daripada membeli atau mengambil produk makanan dari negara China sehingga keadaan menjadi reda. Baca label sebelum membeli sesuatu produk makanan, bagi memastikan produk tersebut bukannya dari negara China.

"Sentiasa mengikut perkembangan terbaharu melalui media cetak atau elektronik tentang produk makanan yang disyaki mengandungi melamin,"nasihat Yusof kepada pengguna negara ini. - mks.

(Ikuti wawancara sepenuhnya mengenai isu Melamin dalam Harakah edisi Jumaat akan datang) _

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |