+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 2, 2008

BPR mula siasatan Eurocopter

Berita Harian


Pembelian helikopter terlalu mahal, dakwa dipengaruhi pihak tertentu

SEREMBAN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah membuka kertas siasatan berhubung isu cadangan pembelian 12 helikopter Eurocopter C-725 bernilai RM1.607 bilion yang kini ditangguhkan bagi memastikan sama ada ia dilakukan mengikut prosedur.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan itu dibuat berikutan kritikan sesetengah pihak mengenai harganya terlalu mahal dan didakwa dipengaruhi pihak tertentu.

"Siasatan kes itu diketuai Pengarah Siasatan, Datuk Shukri Abdullah dan baru dimulakan. Pegawai kami sudah ke Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan maklumat berhubung isu itu kerana BPR mahu melihat sama ada ia dilakukan mengikut prosedur atau ada kepincangan.

"Jika wujud unsur rasuah, kita akan jalankan siasatan lanjut," katanya, selepas menghadiri Ujian Kemahiran Menembak BPR Malaysia 2008 di Lapang Sasar Mantin, semalam ketika mengulas laporan polis dibuat Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa berhubung isu berkenaan.

Ahmad Said berkata, BPR akan menjalankan siasatan secara berperingkat kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga sedang meneliti isu itu.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan kerajaan menangguhkan pembelian 12 helikopter itu sehingga keadaan ekonomi dunia stabil.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menumpukan perhatian pada projek lebih penting yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

Ahmad Said berkata, BPR turut memandang serius gejala kemasukan pendatang asing tanpa izin dan penyeludupan pelbagai jenis barangan larangan ke negara ini yang dilihat semakin meningkat dalam tempoh 10 bulan lalu dan boleh menjadi ancaman sehingga menggugat kestabilan negara.

"Sehubungan itu, kita menjalankan pemantauan bagi memastikan kegiatan itu dapat dikekang dan dibanteras," katanya.

Sementara itu katanya, 5,000 anggota baru akan diambil untuk mengisi beberapa jawatan dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.

"Tahun ini 82 anggota sedang direkrut di Melaka, tahun depan kita akan tambah lagi 900 orang dan seterusnya secara berperingkat selama lima tahun," katanya.

1 comments:

Unknown said...

BPR harus telus dalam menjalankan siasatan terhadap kes Eurocopter. Siasatan harus dilakukan ke atas semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung...Rakyat Malaysia tak sabar nak tau kesudahan isu ini...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |