+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, November 12, 2008

GMI kesal ada tahanan ISA ditahan lebih tujuh tahun

Harakahdaily

Nyza Ayob
Wed | Nov 12, 08 | 5:17:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) melahirkan kekesalan kerana sehingga hari ini masih ramai yang ditahan di bawah ISA sehingga hampir tujuh tahun tetapi sebahagian mereka yang didakwa dengan tuduhan sama telah dibebaskan.

Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh sewaktu sidang akhbar di lobi Parlimen tengah hari ini.

Beliau juga turut kesal sehingga kini terdapat 64 orang tahanan ISA yang mana seramai 11 orang telah ditahan lebih daripada lima tahun, tujuh orang selama lebih empat tahun, 12 orang selama lebih tiga tahun, 19 orang selama lebih dua tahun, lima orang selama hampir satu tahun dan lima orang ditahan kurang daripada setahun.

"GMI sudah acap kali mendengar kenyataan-kenyataan sama ada yang dibuat oleh Abdullah sendiri atau oleh menteri berkenaan tentang penggunaan dan penahanan ISA yang dibuat secara teliti, berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya. Namun sebenarnya kenyataan itu ternyata berbeza daripada realiti.

"Beberapa kes penahanan dan pembebasan terkini membuktikannya iaiti kes terhadap wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin," katanya.

Tambahnya, dalam kes Tan Hoon Cheng dan Teresa Kok, penahanan dibuat dahulu sebelum kes diteliti. Manakala dalam kes Raja Petra, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar tidak mengikut prosedur yang betul di bawah Seksyen 8 ISA dalam mengeluarkan perintah tahanan.

Sementara itu, isteri kepada tahanan ISA, Mat Sah Mohd Satray, Norlaila Othman yang turut serta dalam sidang akhbar itu melahirkan kekecewaan terhadap Menteri Dalam Negeri kerana suaminya masih ditahan hampir lapan tahun.

"Jika Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ingin menutup Kem Guantanamo, Abdullah seharusnya juga menutup Kem Tahanan Kemunting," katanya.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menyertai sidang akhbar tersebut ialah Ketua Whip PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad. Turut serta, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom.

Selain Syed Ibrahim dan Norlaila, GMI turut diwakili beberapa orang aktivisnya. Antaranya Aliza Jaafar, dan Nashitah Md Nor. Turut serta Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh.

Dalam pada itu, sebagai tanda bantahan yang berterusan terhadap akta zalim itu, GMI turut menyerahkan memorandum serta 50,000 poskad bantahan rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut menandatangani 'mock up' poskad bantahan tersebut.

Selain itu, poskad berkenaan antara lain GMI mendesak pemberhentian kezaliman yang ke atas tahanan dan keluarga tahanan, ISA dimansuhkan serta Kem Tahanan Kemunting ditutup. - mns_

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |