+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 2, 2008

Najib menang tanpa bertanding, bakal Presiden Umno Ke-7

Mstar Online

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sah! Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) yang terus mengungguli jumlah pencalonan diterima bagi jawatan Presiden Umno dan sebagaimana telah dijangkakan banyak pihak, memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding.

Kemenangan itu dicapai pada pukul 4.11 petang tadi, sekali gus bakal dimahkotakan sebagai Presiden Umno ketujuh dan membuka laluan untuk menjadi Perdana Menteri yang baru tahun depan.

Kini Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Jumaat lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan menyerahkan kuasa ketua kerajaan sebaik sahaja berakhirnya perhimpunan agung parti tahun depan.

SAINGAN TENGKU RAZALEIGH

Najib pernah diramal berhadapan dengan saingan bekas Naib Presiden, Tengku Razaleih Hamzah.

Tetapi Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu hanya memperoleh satu pencalonan iaitu semalam daripada bahagiannya sendiri.

Seseorang calon yang layak bertanding jawatan Presiden perlu memperoleh minimum 58 pencalonan.

Berdasarkan jadual pemilihan, dengan kemenangan itu, Najib akan diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Umno yang baru apabila Perhimpunan Agung Tahunan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Mengikut tradisi Umno seseorang pemimpin yang dicalonkan perlu menerima pencalonan secara rasmi sebagai syarat mahu bertanding.

Dalam kes Najib, 55, kedudukan beliau akan menjadi rasmi Mac depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan bertanding jawatan itu selepas Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan kedudukannya.

Empat tahun lalu beliau menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.

SOKONGAN PADU

Dengan perkembangan ini, Najib dijangka menyapu kesemua pencalonan daripada 27 bahagian yang bersidang sepanjang hari ini dan baki pencalonan yang akan ditentukan sebelum 9 November.

Bahagian Pekan yang diketuai Najib akan bermesyuarat 8 November.

Sehingga pukul 2 petang tadi, Najib telah menerima sebanyak 122 pencalonan. Ia meningkat 12 lagi menjelang pukul 4.11 petang tadi.

Setelah 123 bahagian selesai mengadakan persidangan perwakilan sehingga malam tadi, hari ini 27 lagi bahagian melangsungkan pertemuan masing-masing.

Jumlah itu menjadikan 147 bahagian akan selesai bersidang menjelang tengah malam ini.

Keseluruhan bahagian Umno ialah 191. Persidangan perwakilan perlu berakhir menjelang 9 November.

Sehingga 7 petang ini, bahagian-bahagian yang mencalonkan Najib hari ini ialah Bentong, Batu Kawan, Tanjong Malim, Cameron Highlands, Indera Mahkota, Kota Raja, Puchong, Pandan, Klang, Telok Kemang, Kuala Pilah, Tampin, Segamat, Sekijang, Ayer Hitam, Tawau, Kulim-Bandar Baharu, Keningau, Kapar, Muar dan Teluk Intan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dihubungi Bernama mengesahkan kemenangan tanpa bertanding Najib memandangkan manamana pencabar tidak akan dapat melepasi kouta kelayakan 58 pencalonan.

Bagaimanapun, Najib hanya akan diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu Mac tahun depan.

"Najib secara automatiknya menang tanpa bertanding (Presiden Umno) tetapi beliau akan menjadi Presiden selepas terma tamat tempoh (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) pada 28 Mac depan," katanya.

KERJAYA POLITIK

Kerjaya politik Najib dalam parti dan kerajaan bermula selepas ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein, ketika itu Perdana Menteri yang kedua, meninggal dunia.

Pada 1976, Najib dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, dan dua tahun kemudian memegang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan (1980-82), sekali gus mengetuai bahagian itu sejak 1982 sehingga sekarang.

Selain itu, beliau dipilih sebagai Exco Pemuda Umno pada 1978 dan anggota Majlis Tertinggi Umno dari 1984 hingga 1986. Pada 1986 beliau dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dan dua tahun kemudian sebagai Ketua Pemuda yang dipegang sehingga 1993.

Dari 1993 hingga 2004 Najib merupakan salah seorang Naib Presiden Umno.

Najib juga merupakan Ahli Parlimen Pekan sejak 1976, yang ditandingi ketika berusia 23 tahun.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |