+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 2, 2008

Tan: Saya tidak pernah persoal hak Melayu

Malaysiakini

Nov 2, 08 6:47pm

Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe menjelaskan bahawa beliau tidak menghina atau mempersoalkan hak masyarakat Melayu dalam ucapannya pada 10 Oktober lalu, tetapi ucapannya itu telah
disalahtafsirkan.

gerakan youth agm 2007 051007 tan lian hoeDalam sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat parti Gerakan di ibunegara hari ini, Tan berkata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah mengesahkan perkara itu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 16 Oktober lalu.

Bernama melaporkan Tan berkata, beliau juga mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu untuk menjelaskan perkara sebenar.

Tan berkata mesej yang terkandung dalam ucapannya itu adalah untuk mengingatkan pemimpin politik atau NGO supaya tidak mempolitikkan isu perkauman memandangkan Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan tindakan seperti itu akan merosakkan perpaduan kaum.

Bagaimanapun, beliau mendakwa terdapat pihak tertentu hanya memberi tumpuan kepada hanya satu aspek daripada ucapannya yang menyebabkan keseluruhan teks diambil di luar konteks.

"Saya tidak pernah mempersoalkan hak Melayu atau menghina sesiapa. Ucapan itu diambil di luar konteks. Saya menekankan bahawa kita tidak seharusnya mempolitikkan atau mempersoalkan fakta sejarah atau menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan orang ramai atau undi. Pemimpin mendapat mandat daripada rakyat dan kita mesti memperjuangkan hak rakyat," katanya.

Petikan ucapan

Berikut adalah petikan ucapan beliau pada pembukaan serentak persidangan perwakilan Wanita dan Pemuda parti Gerakan pada 10 Okt lalu, yang diambil di luar konteks:

"Kita lupa atau sengaja lupa bahawa hari ini semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum adalah Anak Malaysia dan Rakyat Malaysia. Kita bukan penumpang. Asal usul kita sama. Orang Melayu datang dari kepulauan Melayu di Nusantara.

Orang Cina dari Negara China. Orang India dari Negara India.

"Kalau tak tahu sejarah, jangan bercakap tentang sejarah. Orang asli, orang pribumi ialah anak sejati negara ini. Tetapi malangnya mereka masih terpinggir dan masih jauh dalam arus pembangunan negara.

"Jangan dipertikaikan dan dipolitikkan fakta sejarah atau mengambil isu perkauman sebagai modal untuk meraih sokongan dan undi daripada ahli-ahli untuk menjadi jaguh pemimpin dalam parti dan negara. Kita tidak mahu pemimpin yang memecah-belahkan kaum dan menindas kaum lain.

"Pemimpin mentaliti kelas ketiga seperti ini tidak boleh kita terima dan kita benarkan sebagai contoh untuk memimpin negara kerana ia akan mengharu-birukan masyarakat melalui konflik hubungan kaum dan menghancurkan perpaduan negara yang telah terbina sekian lama."

Dalam perkembangan lain, Tan berkata sayap parti berkenaan akan menganjurkan kunjungan antara budaya dan program kebudayaan di antara pelbagai kumpulan etnik di negara ini, misalnya tarian tradisional, bagi menyemai minat terutamanya dalam kalangan belia untuk mempelajari serta menghormati perbezaan satu sama lain.

Beliau berkata Wanita Gerakan juga merancang untuk menganjurkan aktiviti yang akan mewujudkan lebih kesedaran mengenai perniagaan kepada golongan wanita.

"Kami akan menganjur siri jelajah bagi memaklumkan kepada wanita berhubung kemudahan kredit bukan sahaja daripada institusi kewangan tetapi juga daripada agensi kerajaan dan kementerian. Rancangan kami ialah untuk memberitahu mereka tentang infrastruktur yang diwujudkan untuk membantu mereka dalam bidang perdagangan dan keusahawanan.

"Kami juga akan menganjurkan misi perdagangan dan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membimbing serta melatih wanita terbabit dalam soal pemasaran, penetapan harga, pembungkusan dan banyak lagi," kata Tan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |