+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 6, 2008

Bunyi Ribut Dan Bom Meletup Sebelum Tanah Runtuh, Kata Saksi

Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama)
-- Seorang saksi berkata beliau mendengar bunyi seakan-akan ribut dan diikuti dengan bunyi letupan sebelum kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini.

Hassan Saad, 48, berkata semasa sedang menonton televisyen di ruang tamunya pada pukul 4 pagi tadi, beliau tiba-tiba terdengar bunyi bagaikan ribut lalu menjenguk ke luar rumahnya dan melihat keadaan tenang dan pokok-pokok di situ tidak bergoyang.

Ahli perniagaan itu kembali menonton televisyen sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seperti bom meletup dan terus bergegas ke luar rumahnya, dan melihat runtuhan tanah dari bukit menghempap rumah jirannya yang terletak di depan rumahnya.

Hassan berkata beliau terus menjerit membangunkan keluarganya yang seramai 10 orang termasuk ibu mentua dan dua sepupunya serta jiran-jirannya supaya menyelamatkan diri.

Setakat pukul 10.30 pagi ini, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan tiga maut dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di kawasan perumahan mewah itu.

Hassan yang tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lepas berkata ini adalah kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu.

"Pada bulan lepas, lapan batang pokok tumbang di lereng bukit kira-kira 20 meter dari belakang rumah saya dan saya maklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Mereka telah datang dan memotong pokok-pokok itu. Saya ingat semua ok," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, Lian Wan Jian dari Taman Bukit Mewah berkata beliau terdengar dua bunyi dentuman yang kuat dan menyangka berlaku gempa bumi.

Pada masa kejadian, ahli perniagaan itu masih belum tidur tetapi isteri dan dua anak lelakinya sedang nyenyak tidur dan bunyi dentuman itu telah mengejutkan mereka.

Ketika membuka pintu rumah untuk menyelamatkan diri, Lian berkata beliau dan keluarganya ternampak pergerakan tanah yang menolak kereta hingga "terangkat" tinggi, dan merasakan rumah mereka bergerak ke arah rumah jiran.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga dapat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

"Mungkin rumah kami di bahagian hujung, mungkin sebab itu kami dapat menyelamatkan diri," katanya yang ditemui di pusat penempatan mangsa di surau Addinniah, Taman Bukit Mewah.

Sementara itu, bapa mentua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata menantu perempuan dan cucunya yang baru berusia dua bulan dijumpai mati tertimbus, sementara anak lelakinya setakat pukul 9 pagi ini masih dilaporkan tertimbus.

Chong berkata malam tadi beliau telah datang melawat anak dan menantunya, dan kembali ke rumahnya pada pukul 11 malam tadi, dan awal pagi ini jiran anaknya telah menelefonnya dan memaklumkan rumah anaknya ranap.

Keadaan di kawasan itu agak kelam-kabut dengan beratus-ratus penduduk di kawasan perumahan itu tidak dapat keluar kerana satu-satunya jalan menghubungkan kawasan itu telah dipenuhi dengan jengkaut, bomba, ambulans dan trak serta pasukan keselamatan yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

Sementara itu, jalan di kawasan itu penuh sesak apabila penduduk di kawasan itu pula beramai-ramai cuba melarikan diri dari kawasan itu.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |