+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, December 19, 2008

Tiada Harga Lantai Bagi Petrol, Cukai Di Peringkat Runcit

Bernama

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk tidak menetapkan paras minimum atau harga lantai bagi harga runcit petrol, sebaliknya akan mengenakan cukai ke atas petrol di peringkat runcit jika harga pasaran komoditi itu berada di paras bawah RM1.90.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata dengan itu, orang ramai dapat menikmati kadar penurunan harga minyak jika harga di pasaran dunia menurun sehingga ke mana-mana paras sekalipun dan ia cuma tertakluk kepada kadar cukai yang akan dikenakan kerajaan.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang turut membincangkan mengenai mekanisme pengapungan harga minyak secara terurus itu minggu lepas.

"Bagi mekanisme ini, kita telah menentukan bahawa harga siling ditetapkan pada RM2.70 seliter dan subsidi 30 sen masih akan diberikan, hanya jika harga pasaran minyak berada di atas paras RM1.90.

"Jika harga purata minyak mentah dunia dunia berada di bawah paras RM1.90 seliter pula, kita membuat keputusan untuk mengenakan cukai dan kadarnya masih di peringkat perbincangan dan dijangka akan diketahui bulan depan," katanya kepada pemberita semasa mengumumkan kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi November di pejabatnya, di sini, Jumaat.

Shahrir berkata, kadar cukai yang akan ditentukan nanti akan memastikan rakyat mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan bagi meningkatkan pembelian dalam negeri dan seterusnya merangsang ekonomi negara.

Katanya, kali terakhir kerajaan menerima pendapatan daripada cukai ke atas petrol di peringkat runcit adalah pada Februari 2006 dan jumlah cukai maksimum yang boleh dikenakan buat masa ini adalah 58 sen seliter.

Shahrir berkata, kaedah menggunakan harga purata dua minggu atau sebulan juga masih diteruskan di bawah mekanisme itu.

Mengenai diesel dan gas petroleum cecair (LPG) Shahrir berkata subsidi masih akan terus diberikan bagi kedua-duanya.

Bagi tahun ini sehingga November, jumlah subsidi bagi petrol, diesel dan LPG adalah RM16.019 bilion dan dijangka mencapai RM20 bilion hujung tahun ini termasuk pemberian rebat, katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata kerajaan menjangkakan harga barangan pengguna yang lebih murah bagi suku pertama tahun depan, termasuk bagi barangan import.

Katanya harga bahan mentah bagi barangan tempatan sudah mula menunjukkan penurunan, dan hasil perbincangan antara kementerian dengan pengilang dan pembekal bagi mengurangkan harga juga mula menunjukkan hasil.

Bagi barangan import pula, katanya, kelemahan nilai beberapa matawang yang digunakan untuk urusniaga import turut memberi impak positif kepada negara.

Shahrir berkata, bagi suku tahun pertama tahun depan juga kerajaan akan menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi, kerana masalah inflasi dijangka bukan lagi masalah yang besar.

Mengulas mengenai IHP bagi bulan November, Shahrir berkata ia menepati anggaran kerajaan yang dibuat untuk sepanjang 2008, iaitu 5.5 peratus.

"Dengan pencapaian 5.7 peratus bagi Januari hingga November, bermakna kita sudahpun mencapai 5.5 peratus bagi 2008, dan kalau adanya perubahan bagi Disember yang dijangka akan menurun lagi, ia bermakna bahawa anggaran kita agak tepat," katanya.

Shahrir berkata ia juga menepati unjuran IHP yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia iaitu 5.5 peratus hingga 6 peratus.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |